Loading...
TR

'Mak... nak susu....' - Di hujung katil, 'benda' itu memerhatikan dia...


Sekadar perkongsian untuk bacaan suka-suka. Bagi mereka yang lemah semangat dan mudah terbayangkan perkara yang tidak sepatutnya, anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan bacaan. Risiko tanggung sendiri. Gambar-gambar yang digunakan juga hanyalah sekadar hiasan sahaja. Selamat membaca.

PADA malam pertama, kira-kira jam 1.45 pagi, saya meminta pembantu rumah saya mematikan lampu dan tidur. Dia tidak mendengar apa yang saya katakan dengan jelas, lalu dia pun datang ke arah saya dan bertanya, "Ma'am, bilang apa?". Dia berdiri di depan pintu bilik tidur saya, sambil saya mengulangi kata-kata tadi.

Tiba-tiba Nurul (pembantu rumah) terus senyap dan tercegat. 

"Kenapa Nurul?" soal saya. 

"Ma'am, malam ini bisa saya tidur di bilik Ma'am?" kata Nurul. 

"Boleh..." jawab saya. 

Jadi, pada malam itu kami semua tidur di bilik saya, termasuk dengan anak-anak saya. 

Pada keesokan harinya, saya bertanya kepada Nurul. "Kamu ada rasa apa-apa tak semalam?". Menurut Nurul, malam semalam apabila dia berdiri di luar bilik tidur saya, dia dapat rasakan seperti ada 'benda' yang lalu di belakangnya, seperti berangin. 

Pada malam kedua, anak saya pula yang ternampak. Ketika itu waktu Maghrib. Anak lelaki saya yang berusia tujuh tahun berkata dia ternampak lembaga hitam berlari dari dapur masuk ke bilik tidur saya. Ketika kejadian ini berlaku, saya berada di dalam bilik. Dia berlari sambil menangis sekuat-kuat hati dan berkata,

"Mummy... Mummy.... Mummy... There is a ghost in your room!" 

Saya terperanjat, saya beritahu dia rumah ini tiada hantu dan mungkin dia kepenatan agaknya. 


Pada malam ketiga, saya baru balik ke rumah dalam jam 3 pagi. Anak-anak saya bangun dan menggesa agar saya tidak meninggalkannya seorang diri di dalam bilik. Saya tertanya-tanya dalam hati, kenapa budak ini berkelakuan seperti ini? 

Saya langsung pergi ke dapur nak mengambil air dan anak saya ikut sambil berjalan nak masuk ke bilik semula, dia terus pekik sekuat-kuatnya. Saya angkat anak saya dan tutup bilik tidur. Saya pun bertanya kenapa dia berkelakuan seperti itu? 

Dia beritahu yang dia ternampak lembaga putih tanpa kepala lalu di belakang saya ke hulu ke hilir. Saya terus hidupkan lampu bilik dan malam itu saya dengan Nurul tak tidur langsung! 

Selepas dua minggu kemudian, sekitar jam 10.00 pagi dan saya masih tidur, saya tersedar kerana terdengar seperti ada seorang budak perempuan yang sedang berbisik ke telinga saya. 

"Mak, nak susu...." 

Kata budak itu. Namun yang hairannya saya boleh bercakap dengan dia.

"Tanya Nurul...." 

Entah macam mana, saya terperanjat lalu tersedar dari tidur sebelum ternampak kelibat seorang budak perempuan di dalam bilik saya, berdiri di hujung katil sedang memerhatikan saya. Badan budak itu sangat kotor. Seluruh badannya dipenuhi dengan lumpur yang separuh kering. Dia merenung saya, apa lagi, saya terus sampai sampai tersungkur sambil memekik nama pembantu rumah saya. 

Pada hari itu, saya tidak masuk ke dalam bilik langsung. Selama dua hari selepas kejadian itu, rumah saya senyap tanpa kehadiran 'benda' itu yang mengganggu kami. Tetapi pada malam Jumaat, semasa saya hendak masuk tidur, terasa seperti ada 'benda' yang memegang kaki saya. 


Saya tepis dan pusing ke kanan. Kaki saya masih rasakan seperti ada benda yang memegang. Kali ini ibu jari saya ditarik. Saya cuba hidupkan lampu tepi katil dan pada ketika itulah saya ternampak sosok lembaga hitam di tepi saya dengan matanya merah dan suaranya yang garau. 

Saya terus pekik dan lari dari bilik tidur. Ini bukan sahaja gangguan yang pernah berlaku ke atas diri saya. Nurul pun diganggu juga. 

Kadang-kadang pada jam 4 pagi, pembantu saya akan mengetuk pintu bilik dan bertanya, "Ma'am, mau apa?". Saya pula berkata yang saya tidak ada memanggilnya. Dia kata dia dengar suara saya memanggilnya. 

Selalu juga bila tiba waktu malam, kami semua akan mendengar bilik tamu saya seperti ada orang yang sedang membuang barang seolah-olah sedang melemparkan sesuatu ke dinding. Kadangkala kedengaran seperti ada benda yang pecah. Tetapi apabila diperiksa pada keesokan harinya, tiada apa-apa pun yang pecah. 


Kami sekeluarga baru saja setahun duduk di rumah sewa ini. Jiran di sebelah hujang memberitahu yang jiran di sebelah saya terjun bunuh diri kira-kira seminggu sebelum saya berpindah ke sini. Kadang-kadang macam-macam benda boleh didengari. Cuma saya kuatkan saja iman. 

Ini kediaman saya, saya takkan mengalah. Cuba bayangkan tiap-tiap malam ada sahaja perkara mistik yang berlaku di rumah ini. 

Sumber: Says.com

About Cite Malaya

Powered by Blogger.