Seorang jururawat lelaki di sebuah pusat kesihatan kerajaan di Rajasthan, India, menarik badan bayi dengan terlalu kuat ketika cuba menyambut kelahirannya, terputus kepada dua bahagian.
Dalam kejadian 6 Januari lalu, jururawat terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol, menyebabkan kepala bayi malang itu terputus dan tertinggal di dalam rahim ibunya.
Jururawat itu kemudian secara sembunyi meletak mayat bayi itu di dalam bilik mayat tanpa memaklumkan kepada pegawai atasannya dan dia mengarahkan keluarga wanita itu membawanya ke hospital lain.
Wanita itu kemudian dipindahkan ke Hospital Jawahar dan Pakar Sakit Puan, Doktor Ravindra Sankhla yang menerima kes itu pula dimaklumkan bayi itu telah selamat dilahirkan, namun urinya masih tertinggal di dalam rahim.
Doktor Ravindra kemudian mendapati ada sesuatu yang tidak kena dan persoalannya terjawab apabila menemui kepala bayi itu sebelum memaklumkan kepada si ibu, Diksha Kanwar, dan ahli keluarganya. Diksha kemudian dihantar ke Hospital Jodhpur untuk rawatan lanjut.
Pegawai Perubatan Doktor Nikhil Sharma yang bertugas pada waktu itu berkata, dia tiada di lokasi semasa kejadian itu berlaku dan jururawat terbabit melakukan proses menyambut kelahiran bayi itu tanpa memaklumkan kepadanya.
Dua jururawat lelaki berkenaan, Amrit Lal dan Junjhar Singh kemudian digantung tugas dan Doktor Nikhil pula akan dipindahkan ke tempat lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304 A menyebab kematian akibat kecuaian dan Seksyen 336 membahayakan nyawa di bawah Kanun Keseksaan India.
Sumber: World of Buzz, Hindustan Times