Baru-baru ini seorang peniaga menemui wang tunai sebanyak 550,000 yen RM20,755.84) dalam guni bundle di kedainya di Kampung Tualang Salak, Jelawat, Bachok, Kelantan.
Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29, berkata, dia terkejut apabila menemui wang itu dari salah satu dari dua guni bundle di sebuah gudang di Wakaf Bharu, Kelantan, Sabtu lalu dengan harga masing-masing RM50 dan membawanya pulang ke kedai.
"Saya terkejut melihat wang tunai yang terlalu banyak dan membuat kiraan sebelum mengambil gambar dan memuat naik di Facebook jam 9.20 malam kelmarin," katanya.
Wan Mohamad Adam menganggap penemuan wang itu adalah rezeki buatnya selepas membeli lebih 10 guni bundle sejak sebulan lalu.
"Wang itu akan saya gunakan untuk membuat modal bagi membesarkan perniagaan bundle. Saya sudah menukar wang berkenaan sebanyak 450,000 yen (RM16,000) dan bakiya akan disimpan untuk kenangan," katanya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, wang yang ditemui tanpa pemilik dan tidak dituntut oleh sesiapa itu perlu diserahkan kepada Baitulmal untuk kegunaan umum.
Sesiapa saja yang menemui wang sama ada di tepi jalan atau di mana-mana kawasan dan gagal mengesan pemilik, ia perlu diserahkan kepada jabatan agama.
Jika di Kelantan, wang berkenaan perlu diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk diuruskan.
"Jika wang yang ditemui itu ada pemilik, cari tuannya dahulu. Sekiranya gagal mencari pemilik, baru serahkan kepada Baitulmal.
"Tidak kira wang itu dari negarak ita atau negara lain, ia tetap wang yang ditemui tanpa pemilik. Orang yang menemui tidak boleh menggunakan wang itu kerana ia bukan haknya," katanya secara terperinci di mana wang itu tidak boleh digunakan untuk peribadi termasuk perniagaan.
Sumber: Harian Metro