Seorang ahli saintis wanita maut dibaham buaya berukuran 17 kaki panjang ketika mangsa sedang memberi haiwan itu makan.
Mangsa, Deasy Tuwo, 44, sebelum itu dilaporkan sedang memberi makanan berasaskan daging kepada buaya yang diberi nama Merry, pada pagi Jumaat lalu di Sulawesi Utara, Indonesia.
Namun haiwan itu secara tiba-tiba menerkam dan mengheret mangsa ke dalam air.
Kejadian itu hanya diketahui oleh kakitangan lain pada jam 8.45 pagi apabila mereka menemui benda asing di permukaan air sebelum mendapati sebahagian badan mangsa sedang dimakan oleh buaya terbabit.
Pasukan keselamatan berusaha mendapatkan semula bahagian-bahagian mayat mangsa tetapi buaya tersebut bertindak ganas ketika dihampiri oleh pasukan berkenaan.
Merry kemudian berjaya ditangkap dan dibawa untuk melakukan pemeriksaan bagi memastikan sama ada dia telah menelan sebahagian badan mangsa.
Rakan sekerja mangsa berkata, Deasy seorang yang pendiam dan sangat menyayangi haiwan.
Bekas rakan sekerjanya, Merry Supit berkata, "Dia seorang yang pendiam. Kami keliru bagaimana kejadian ini boleh berlaku.
"Buaya itu diberi makan ayam, tuna dan daging. Segalanya mesti dalam bentuk segar dan ia tidak mahu makan skiranya makanan yang diberi itu adalah makanan sejuk beku atau telah mati beberapa hari lalu," katanya.
Rakan sekerjanya, Erling Rumengan berkata, "Kami ternampak ada benda terapung di permukaan air, rupa-rupanya mayat Deasy.
"Kami tak berani nak sentuh dan terus lapor pada pihak polis," katanya.
Sementara itu kakitangan yang lain memaklumkan, Merry adalah buaya yang sangat agresif dan pernah menyerang dan membunuh seekor buaya lain yang ditempatkan di kolam yang sama.
Polis kini cuba mengesan pemilik buaya itu yang dipercayai seorang ahli perniagaan Jepun yang membuka pusat penyelidikan itu. Bagaimanapun, pemiliknya tiada di pusat itu ketika kejadian itu berlaku.
Ketua Polis Tomohon, Raswin Sirait berkata, "Kami masih mencari pemilik buaya itu, saya percaya dia mesti sudah tahu mengenai kejadian ini.
"Kami juga ingin tahu sama ada dia mempunyai permit memiliki haiwan ini dan pusat penyelidikan ini. Jika tiada permit, dia akan ditahan," katanya. - Mirror