Kemalangan itu berlaku selepas pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu memulakan perlumbaan di petak pertama.
Bapa mangsa yang juga bekas pelumba, Nor Azman Mad Darus, berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas pelumba di hadapan anaknya terlanggar penghadang di tepi litar menyebabkan penghadang itu terkeluar ke tengah litar.
Kemalangan itu menyebabkan Hafiz tidak sedarkan diri sebelum terus dibawa ke Hospital Kota Tinggi tetapi disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, kakak Mohd Hafiz, Nor Shaziela, 30, terkilan, apabila hasrat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk membawa ibu bapa mereka menunaikan umrah, Januari depan tidak kesampaian.
"Sebelum perlumbaan lagi arwah beberapa kali cakap mahu nak pergi umrah bersama dan sudah siap buat persiapan.
"Dia cakap lepas habis semua ni, perkara pertama dia nak buat nak pergi umrah, nak bawa mak dan ayah, itu memang hajat dia," katanya.
"Saya tak sangka, perlumbaan hari ini betul-betul menjadi yang terakhir buat dia. Banyak kali dia sebut, 'Ini last race aku', setiap kali kami bersembang mengenai perlumbaan motosikal, dia akan tekankan ayat last race itu.
"Mulanya saya dan rakan lain anggap perkara biasa, tapi hari ini, baru kami faham, ada maksud yang dia nak sampaikan," katanya.
Ekoran kejadian itu, Persatuan Automobil Malaysia (AAM) akan menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk menyiasat insiden yang meragut nyawa mangsa.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani