Seorang pemilik sebuah bengkel membuat peralatan besi cedera parah selepas dikelar adik lelakinya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di hadapan bengkel berkenaan di Bertam Perdana, di Kepala Batas semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, mangsa berusia 36 tahun berada di bengkel yang beroperasi di hadapan rumahnya manakala adik kandungnya berumur 23 tahun yang bekerja dengannya sejak dua tahun lepas turut berada di situ.
"Difahamkan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum adiknya tiba-tiba mengambil sebilah pisau yang berada di rak kasut dan terus memeluk abangnya dari arah belakang sebelum mengelar bahagian hadapan leher lelaki itu.
"Beberapa orang yang berada berhampiran tempat kejadian terus bergegas memberi pertolongan kepada mangsa sebelum menghantarnya ke sebuah klinik swasta yang terdapat di situ dan menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu terus ke lokasi kejadian dan berjaya menahan lelaki berkenaan dan merampas sebilah pisau sepanjang 23 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek untuk mengelar leher abangnya.
Noorzainy berkata mangsa mendapat rawatan kecederaan di hadapan leher sebelah kanan dan menerima tujuh jahitan serta tidak mengalami kecederaan serius lain.
"Punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati dengan abangnya yang menekan dan menegurnya tidak membuat kerja mengimpal serta membersihkan besi yang akan digunakan untuk membuat pagar yang ditempah pelanggan," katanya.
Beliau berkata ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati negatif dadah, namun lelaki itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah.
Kes itu disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan lelaki berkenaan akan direman hari ini di Mahkamah Butterworth bagi tujuan siasatan, katanya. - Bernama