Bila dah berkahwin, tiada lagi rahsia di antara pasangan. Baik tabiat baik atau buruk, semuanya diketahui. Namun, masalah pasangan kuat mengigau ini agak membimbangkan juga. Kalau mengigau biasa, masih boleh diterima. Tetapi kalau mengigau sampai bertempik, masalah besar di situ.
SALAM KRT, hide profil saya. Saya tersepit dengan masalah ini. Suami saya suka sangat mengigau, tak kira tidur siang atau malam. Saya malu nak bermalam di luar selain di rumah sendiri sampaikan saudara mara cakap kami sombong sebab kalau balik ke kampung, kami akan sewa hotel.
Bukan mengigau yang biasa-biasa. Kalau dia mengigau, dia akan bertempik sekuat hati. Mak saya pernah kena serangan jantung sebab terkejut dengar dia bertempik. Masa itu bilik kami bersebelahan dengan bilik mak.
Sejak dari peristiwa itu, saya malu nak bermalam di luar. Anak-anak sudah lali kalau terdengar jeritan di malam hari.
Saya pernah tanya, dia cakap dia tak sedar apa-apa. Cuma rasa macam sesak nafas. Selepas mengigau, dia selamba tidur semula seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Hal ini berlarutan dari kami ada anak seornag sehinggalah ada anak empat orang. Saya pernah ajak dia ke hospital, tetapi dia tidak mahu. Saya jugam alu kepada jiran-jiran yang bertanya, ada dengar orang bertempik tak malam tadi? Saya berpura-pura tidak tahu.
Ada tak sebarang petua untuk menyelesaikan hal ini?
Sebelum tidur, selepas solat isyak, dia akan baca Al-Quran, sembahyang sunat baru tidur. Tetapi selepas sejam tidur, mulalah dia bertempik. Selepas itu dia tidur semula.
Tak tahu setan apalah yang masuk ke dalam mimpi dia. Stress saya tak cukup tidur, asyik terperanjat setiap malam. Kalau dia tak sihat atau stress di tempat kerja, lagilah kerap. Lebih dari sekali dia akan bertempik dalam tidur.
Sampai satu ketika saya dah malas nak layan. Lantaklah dia nak bertempik seperti tarzan sekalipun. Sekian.
Sementara itu di ruangan komen, golongan isteri juga berkongsi mengenai tabiat mengigau suami masing-masing yang rata-ratanya melucukan.