Polis mengesahkan pertengkaran di antara pemandu bas ekspres dengan pelayan gerai makanan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang arah timur di Kuantan kelmarin adalah berpunca dari pemandu bas terbabit yang enggan membayar penuh harga nasi lemak yang dijual, sebelum berlaku pergaduhan di kawasan parkir bas, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati, pemandu bas ekspres berusia 32 tahun itu enggan membayar harga nasi lemak yang dijual kepadanya berharga RM2.00.
Menurut pelayan gerai makanan terbabit, harga nasi lemak dijual adalah berharga RM3.00. Namun untuk pemandu bas, lori dan pelanggan tetap diberikan diskaun dan dijual pada harga RM2.00.
"Pemandu bas ekpres itu hanya membayar RM1, menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka," katanya.
Dalam keterangan pelayan gerai terbabit juga mendakwa dia telah dicekik, dipukul di bahagian belakang kepala dan ditendang, sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Bertindak di atas maklumat yang diterima, polis menahan pemandu bas ekspres terbabit di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 1.15 pagi tadi selepas dia tampil untuk memberi keterangan," katanya.
Polis juga turut menahan enam lagi suspek lelaki berusia 32 hingga 44 tahun di sekitar Kuantan dan Maran malam tadi untuk membantu siasatan. Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, pemandu bas ekspres itu dibelasah lima lelaki kerana didakwa telah mengasari pelayan gerai R&R Gambang. Terdapat juga dakwaan yang mengatakan pemandu bas ekspres itu tidak menyentuh pelayan terbabit yang juga merupakan adik kepada salah seorang suspek yang membelasahnya.
Seorang individu bernama Ramadhan Aidiladha Ramadhan mendakwa dirinya adalah saksi kejadian tersebut berkata, pergaduhan itu berpunca dari pelayan gerai berkenaan.
Sumber: Harian Metro
BERITA BERKAITAN: