Lagi kes kehilangan wang simpanan dalam akaun bank. Mangsa yang berhasrat mahu menyemak baki wang di dalam akaun bank, terkejut apabila medapati baki wang hanya tinggal RM26.95 sahaja.
"Sotong betullah. CIMB Clicks ni uolls. Hati-hatilah siapa nak gaji esok lusa. Masa nak login, tengok dulu ada tak 'protected by reCAPTCHA'.
"Kalau ada menatang ni, lupakan saja niat uolls nak login. Pergi ATM sajalah cucuk duit," sarannya dalam status Facebook yang dimuat naik 6 jam lalu.
Menurut Amiratul Farhana Azizan, kira-kira jam 11 pagi tadi, dia mahu memeriksa baki wang dalam akaun bank. Berdasarkan gambar, Amiratul membuka laman sesawang CIMB Clicks melalui browser telefon bimbit dan alamat yang tertera di browser itu juga menunjukkan kekunci berwarna hijau yang bermaksud ianya sah dan selamat.
Namun entah bagaimana, muncul pop up 'protected by reCAPTCHA' di sebelah kanan skrin. Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa meneruskan aktiviti login seperti biasa.
"Ummi login nak check balance dalam jam 11. Login tak sampai lima minit pun terus logout.
"Jam 11.30 pagi, bertalu-talu SMS Paypal kena tolak duit dalam akaun sampai licin (adalah tinggal RM20++ je).
"Dalam masa kurang dari 30 minit Ummi dapat 7 SMS Paypal. Terus call CIMB untuk sekat akaun. Esok kena pergi CIMB. Doakan moga-moga dapatlah semula duit dalam akaun itu.
"Tak banyak tetapi tetap duit. Tak ada orang nak bagi kau duit free okey," tulisnya.
Terdahulu, dua mangsa sindiket yang sama mengadu kehilangan wang dari akaun bank yang sama, masing-masing hilang sebanyak RM1,500 dan RM4,000+.
Ketiga-tiga kes ini dipercayai didalangi sindiket yang sama dengan di mana wang yang 'dicuri' itu dipindah ke akaun Paypal.
Menurut salah seorang mangsa, dia tidak pernah memiliki akaun Paypal dan berasa hairan bagaimana wang simpanannya boleh hilang dengan mudah tanpa pengetahuan mahupun keizinan darinya.
Kes kehilangan wang dari akaun bank semakin membimbangkan para pengguna bank berkenaan dan dalam masa yang sama menggesa pihak bank terbabit mengambil langkah keselamatan untuk memastikan wang simpanan mereka selamat.
BERITA BERKAITAN: