Beliau hanya seorang eksekutif muda yang bekerja di sebuah bank dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan pada ketika itu, namun mampu memiliki enam buah kenderaan mewah yang hanya layak dimiliki jutawan.
Enam buah kenderaan itu adalah:
- Lamborghini Countach (RM1.3 juta)
- Mercedes Benz 300SL (RM502K)
- Mercedes Benz 300E (RM192K)
- Porsche 928 S4 (RM638K)
- Porsche Carerra (RM350K)
- BMW 3291 (RM68K)
Kisah Aman Shah Ahmad kembali viral di media sosial, di mana beliau yang ketika itu berumur 24 tahun terlibat dalam jenayah kolar putih, menggelapkan wang milik syarikat tempat dia bekerja iaitu Hock Hua Bank (kini telah dimiliki Public Bank) di Kuala Lumpur.
Aman Shah, bekas pelajar sekolah St. Joseph di Kuching, Sarawak, digambarkan oleh rakan-rakan sekerjanya ketika itu sebagai seorang yang peramah, suka berjenaka dan membantu rakan-rakannya yang berada dalam kesusahan.
Selain itu, beliau juga menggemari kereta mewah sehingga menyebabkan perbuatan jenayahnya itu terbongkar selepas menunjukkan kemewahan secara terbuka.
Ramai yang mempersoalkan bagaimana seorang lulusan perakaunan Institut Teknologi Mara (Universiti Teknologi Mara) mampu memiliki banyak kereta mewah.
Menurut keratan laporan berita, Aman Shah dihantar mengikuti kursus komputer oleh majikannya selepas setahun bekerja dengan Hock Hua Bank di cawangan di Jalan Raja Laut.
Selepas itu, Aman menyandang jawatan penting dan bermula dari situ beliau menggambil peluang itu untuk melakukan jenayah dengan pengetahuan komputer yang dipelajarinya sebelum itu.
Difahamkan, kesemua kereta mewah yang dimilikinya dibeli secara tunai dengan tiga daripadanya tidak didaftarkan dan tidak dibayar cukai import. Dua buah lagi kereta mewah itu didaftarkan di bawah namanya sendiri, manakala sebuah lagi di atas nama teman wanitanya.
Tidak cukup dengan itu, Aman juga menempatkan tiga kereta mewahnya di pameran kereta eksotik di Plaza Bukit Bintang pada awal Jun 1990 dan adakalanya menggunakan Lamborghini Countach untuk kegunaannya sendiri.
'Hobi mahalnya' itu menjadi semakin tidak terkawal apabila dia dengan beraninya menerima jemputan untuk ditemubual dalam rancangan Sekapur Sireh TV3, di mana beliau bercerita tentang keistimewaan setiap kereta yang dimilikinya itu. Pada ketika itu, Aman Shah telah pun berhenti berkhidmat dengan Hock Hua Bank.
Hasil siasatan mendapati, Aman Shah telah melesapkan kira-kira RM4 juta daripada akaun beberapa pelanggan bank.
Ekoran itu, bekas ketuanya membuat laporan polis di Balai Polis Campbell pada 8 Jun 1990. Bertindak berdasarkan laporan itu, polis telah menahan Aman Shah tiga hari kemudian di sebuah kondominium di Bangsar.
Polis percaya, Aman telah melakukan pemindahan wang pelanggan bank ke dalam akaunnya selepas berjaya memecah kod keselamatan.
Selepas siasatan terperinci dilakukan, Aman Shah yang ketika itu juga adalah pemilik agensi pengiklanan Bistro, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Jun 1990 atas empat pertuduhan menipu kira-kira RM4 juta wang milik Hock Hua Bank.
Aman Shah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dedan.
Empat pertuduhan itu ialah:
- Pertama - Menipu sebanyak RM765,343 di Hock Hua Bank Bhd, 300 Wisma Mui San, Jalan Raja Laut, pada 13 Mac 1990.
- Kedua - Menipu RM634,656.60 di tempat sama pada 16 Mac 1990.
- Ketiga - Menipu RM882,629.80 di tempat sama pada 23 Mac 1990.
- Keempat - Menipu RM717,370.20 di tempat sama pada 27 Mac 1990.
Bagaimana Aman Shah mencuri wang tersebut? Ia dilakukan dengan menipu pengurusan Bank Negara Malaysia dengan mengemukakan arahan palsu melalui Sistem Pemindahan Elektronik Untuk Dana dan Sekuriti (Speeds).
Melalui arahan palsu itu, wang daripada Hock Hua Bank dipindahkan ke akaun agensi pengiklanan Bistro di Bank Bumiputera Malaysia Bhd.
Penipuan itu dipermudahkan dengan kedudukannya sebagai Ketua Jabatan Memproses Komputer Speeds.
Hakim Abdul Rahman Abdol menetapkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin. Namun Aman Shah tidak mampu membayar denda tersebut dan dihantar ke Penjara Pudu sehingga perbicaraan selesai. Mahkamah kemudian mendapati Aman Shah bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun atas dakwaan pecah amanah.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dakwaan kononnya Aman Shah mencuri 1 sen atau 10 sen dari setiap akaun bank pelanggan Hock Hua Bank, sehingga beliau diberi gelaran pencuri 1 sen.
Tampil seorang saksi kes menjelaskan, dakwaan 1 sen itu adalah tidak tepat. Sebaliknya:
"Saya terpanggil untuk mencelah. Rasanya fakta ini salah. Saya adalah saksi utama kes mahkamah dalam kes ini. Dia tidak pernah mengambil wang pelanggan 1 sen atau 5 sen itu.
"Sebenarnya dia telah memindahkan dana pelanggan yang dihantar oleh BBMB melalui BNM kepada pelanggan di HHBB ke akaun beliau sendiri. Dia mungkin nampak beberapa kelemahan dalam sistem SPEED yang baru dikuatkuasakan pada waktu itu dan menggunakan kepercayaan pihak bank untuk pecah amanah. Itu yang terjadi.
"Aman Shah itu adalah trainee saya pada ketika itu. Saya bernasib baik, setiap voucer transaction pemindahan dana itu bukan saya yang tandatangani kerana setiap pemindahan itu dilakukan oleh Aman Shah semasa saya lunch hour atau waktu saya bercuti.
"Jadi, yang approved transactions itu adalah pegawai lain yang menggantikan saya dan tandatangani voucer kerana percaya ianya betul. Ada berpuluh saksi sepanjang proses perbicaraan hampir tiga bulan itu. Bukan semua dilaporkan oleh media," katanya.
Sumber: Berita Harian