Dalam video yang viral di media sosial China menunjukkan beberapa kakitangan didenda oleh majikan di mana mereka dipaksa minum air kencing dan dipukul menggunakan tali pinggang.
Salah seorang mangsa yang mendedahkan kejadian itu di Weibo berkata, majikan mereka turut bertindak memalukan kakitangannya dengan mencukur rambut mereka, memaksa mereka minum air dalam mangkuk tandas selain diarahkan menjual kondom di jalanan.
Selain itu juga, ada kakitangan yang dipaksa minum cuka dan makan wasabi. Lebih kejam lagi, penyelia kakitangan itu dipaksa makan tiga ekor lipas kerana gagal memastikan kakitangan di bawah seliaannya mencapai sasaran jualan.
Juga dilaporkan, ada beberapa kakitangan yang sudah dua bulan tidak dibayar gaji dan ramai di antara mereka bimbang tidak akan mendapat bayaran itu sekiranya mereka meninggalkan syarikat tersebut.
Susulan viral video tersebut di media sosial, pihak berkuasa menahan tiga pegawai terbabit, dua daripadanya direman selama 10 hari, sementara yang seorang lagi hanya direman selama lima hari.
Kejadian pekerja dianiaya seperti ini bukanlah suatu perkara yang baru di China. Beberapa video yang pernah viral sebelum ini menunjukkan kakitangan dipaksa minum air mangkuk tandas dan ditampar di muka.
Difahamkan, majikan mengambil tindakan seperti itu dengan alasan memberikan motivasi kepada kakitangannya agar bekerja lebih baik dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Sumber: Shanghaiist, Next Shark.