Loading...
TR

'Nampak tangan lelaki di atas pintu tingkap dapur' - Jiran kantoi intai dan ceroboh rumah


Bukan kali pertama, tetapi kali ini lelaki yang juga merupakan jiran kantoi cuba memecah masuk ke rumah pasangan suami isteri ini dan gambarnya sempat dirakam lalu dimuat naik ke media sosial. 

Gambar suspek yang hanya berseluar dalam itu dirakam oleh Nur Faeza Sulaiman, 26, dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.30 tengah hari di rumah sewanya di Kampung Padang Jambu, Dungun, Terengganu. 

"Saya keluar untuk membeli barang dapur pada jam 11 pagi dan sebaik pulang ke rumah, saya terkejut melihat tangan seorang lelaki berada atas pintu tingkap dapur.

"Kebetulan saya tinggal seorang manakala suami bekerja, tidak tahu apa perlu dilakukan saya terus mengambil telefon untuk ambil gambar lelaki yang juga jiran sebelah rumah yang hanya memakai seluar dalam," katanya.


Menurut Nur Faeza, belum sampai setahun dia dan suami tinggal di rumah itu tetapi jiran mereka yang berusia lingkungan 40-an didakwa seringkali memasuki rumah mereka. Tetapi hanya kerana kekurangan bukti, mereka tidak dapat membuat laporan polis. 

"Saya tahu ini bukan kali pertama, ketika saya tiada di rumah pun dia akan masuk juga, cuma saya tiada bukti. Betullah firasat saya selama ini, dia memang memasuki rumah saya untuk mengintai dan mencari peluang mencuri," katanya.

Selepas kejadian itu katanya, dia segera pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan kerana bimbang dengan keselamatan dirinya, malah mengakui trauma dengan kejadian itu. 

"Saya trauma, semalaman saya tidak tidur kerana terbayang muka dia. Suami terpaksa tidak pergi bekerja kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku ke atas saya. Kami ada juga menunggu dia untuk bertanyakan hal berkenaan, namun dia tidak pulang ke rumah langsung," katanya.



Nur Faeza berkata, dia memuat naik gambar suspek di Facebook untuk meminta kerjasama daripada orang ramai jika ternampak lelaki itu terus tahan dan bawa ke balai polis berhampiran. 

"Saya mahu polis mengambil tindakan, kalau ikutkan rasa marah ini saya dan suami boleh ambil tindakan sendiri namun kami percaya pada undang-undang negara.

"Saya tahu ramai juga yang mengecam selepas memuat naik gambar lelaki itu, namun saya yang merasai ketakutan ini dan berharap dia segera ditahan,” katanya yang sedang mencari rumah sewa lain.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan usaha mengesan suspek giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.