Loading...
TR

'Depan mata aku ayah dating dengan perempuan lain, sejak dari itu hidup aku berubah 360'


Setiap anak pastinya mengharapkan keluarganya sempurna tanpa adanya gangguan dari orang ketiga. Anak mana yang mahu melihat ibu bapanya bercerai, namun adakalanya perihal orang dewasa kita tidak dapat halang dan sebagai anak hanya terpaksa akur. Akur, tetapi ketiadaan ibu atau ayah itu terasa. Apatah lagi jika anak itu masih, tidak memahami apa-apa, mencari-cari di mana ibu atau ayahnya. 

Kisah benar dari followers Kisah Rumah Tangga. Baca, hadam dan ambil pengajarannya. Jangan kerana orang ketiga, keluarga ditinggalkan. Kasihankan isteri dan anak-anak yang memerlukan kasih sayang seorang suami dan bapa.  

ASSALAMUALAIKUM. Di sini, aku namakan diri aku sebagai Lily. Penceritaan aku kali ni adalah mengenai kehidupan aku di mana teman-teman boleh jadikan pengajaran. Aku berumur awal 30-an, telah berkahwin dan telah bekerja di salah satu IPT di Malaysia. Aku mulakan penceritaan aku sejak aku dari kecil.

Penghujung tahun 90an

Aku masih bersekolah rendah. Keluarga aku macam biasa, normal. Ada ayah aku, ibu aku, aku dan adik aku. Aku lebih manja dengan ayah aku. Masa sekolah, dia mengambil dan menghantar aku ke sekolah. Masa rehat, dia akan datang ke sekolah aku. Belikan aku makanan. Tunggu aku makan sampai selesai. Tapi ayah aku sangat garang. Kalau buat salah sikit, memang rotan jawabnya. Teruk juga aku kadang kena pukul, kena rotan. Ayah aku ada sisi baik, kadangkala jahat juga aku rasa sebab tak boleh salah sikit.

Tapi, masa berubah pada penghujung tahun 90an tu. Ayah aku mula berkawan dengan orang-orang yang tak sepatutnya dia berkawan. Atas urusan kononnya urusan bisnes yang memang tak wujud pun. Kawan-kawan dia boleh dikatakan tak guna. Kebanyakan spesies yang tak bekerja dan makan hasil bini serta bercurang dengan bini masing-masing. Ibu aku, macam biasa.. Percaya sangat dengan ayah aku, ayah aku keluar malam-malam. Balik rumah sampai tengah malam, ibu aku okay je. Aku pulak memang dah tidur.

Sampai satu masa, memang ayah aku kantoi ada perempuan lain. Masa tu ibu aku macam detektif conan. Malam-malam bawa aku yang masih bersekolah rendah, dengan adik aku yang baru berumur 3 tahun jadi penyiasat. Mengekori ayah aku, memang sah dia tengah berdating dengan perempuan lain, depan mata aku. Sedih. Sejak dari itu, hidup aku berubah 360 darjah. Aku ke sekolah naik bas sendiri, tak ditemani ketika makan lagi. Aku okay je, aku boleh move on dengan perubahan ini. Aku seolah faham. Ibu aku dan ayah aku asik bergaduh.

Ayah aku dan perempuan itu berkahwin di Siam, tanpa menceraikan ibu aku. Tanpa nafkah dan hilang begitu saja. Kes di mahkamah makan masa juga, dan akhirnya ibu dan ayah aku bercerai di mahkamah masa aku sekolah menengah. Perasaan aku?. Aku cukup benci dengan perempuan itu, perempuan perosak rumahtangga orang. Sebagai seorang perempuan, sanggup dia mengkhianati perempuan lain dengan membina istana atas airmata orang.

Adik aku?. Masa tu dia baru berumur 3 tahun dan rapat dengan ayah aku. Adik aku demam lepas ayah aku tinggalkan kami. Ibu aku selimutkan adik aku tidur dengan baju ayah aku, baru dia okay. Lagi satu, Perempuan itu, kalau terserempak dengan ibu aku, punya kurang ajar…

Dia akan menunjuk-nujuk jari telunjuk kat ibu aku, macam ibu aku pulak ambil laki dia. Ini memang berlaku depan aku. Bertambah aku benci perempuan itu. Kalau teman-teman ditempat aku, tidakkah kamu benci perempuan seperti itu? Salahkah aku membenci, bila ayah aku pernah mengatakan kami ni anak angkat, dia kahwin lain sebab takda anak?. Tipu!.

Buat aku sakit hati, ayah aku jual tanah yang kami semua sama-sama pelihara. Tanah tu dibuka menggunakan duit ibu aku. Setiap hujung minggu kami pergi ke kebun bersihkan tanah tu. Termasuk aku. Sesen duit kami adik beradik tak merasa. Duit tanah itu, ayah aku gi kawin dengan perempuan tu, perempuan tu pun nampaknya pakai emas besar-besar. Almaklumlah, duit tanah masih banyak. Ibu aku turut hampa, dia cakap dia taknak pun duit tu. Tapi bagi lah sikit untuk anak-anak. Sesen tidak kami terima. Tapi ayah aku cakap kat orang-orang, dia bagi anak-anak sorang 5k. Tipu. Hakikatnya tiada. Tak pernah ambil kisah, kami sekolah dan keperluan.

Tahun 2005 ke atas

Aku melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA. Alhamdullilah. Diploma. Kemudian sambung Degree, Master, kemudian PhD. Alhamdulillah semuanya ditaja biasiswa. Dan sekarang aku telah bergraduasi PhD, rezeki aku dapat menghabiskan PhD. Syukur. Setahun selepas aku bergraduasi, PhD. Suami aku pula bergraduasi PhD. Syukur.

Oh ya, masa aku nikah tu, ayah aku jadi wali, itu pun macam-macam adegan terjadi. Aku tak dan nak menulis di sini. Lain kali ya. Aku dan suami bekerja di IPT. Dan sekarang ni, ayah aku mula mencari anak-anak yg ditinggalkan. Selalu telefon kami untuk minta duit. Tiba-tiba ada anak, sedangkan dulu tak mengaku anak. Tapi aku masih waras, aku tolong juga. Tapi hanya untuk duit minum-minum kopi dan makan dia seorang. Bukan untuk keluarga dia dengan perempuan tu.

Hati aku ni tak mulia nak sedekah untuk perempuan yang bina istana atas air mata orang. Yup, ayah aku tetap ayah aku. Tapi perempuan itu dan anak-anaknya aku tak boleh terima. Ada yang cakap, anak-anak dia tak bersalah. Ya, tapi tetap ada darah daging perempuan itu dan aku tak semulia itu nak maafkan. Hati aku sakit. Dan hanya aku yang tahu. Orang lain boleh cakap macamtu, tapi maaf lah, aku ni bukan semulia Nabi nak maafkan orang. Terlalu banyak hati ni menanggung kesakitan, keperitan, kesengsaraan. Zaman kanak-kanak aku tak seindah seperti kamu!

Kalau kamu ada keluarga yang lengkap, family day dan sebagainya, aku ini TIADA! Jika ayah kamu selalu dengan kamu dari kamu kecil hingga dewasa, itu pun aku TIADA! Kepada perempuan itu, maaf itu tinggi nilainya, bolehkah kau pulangkan zaman kanak-kanak aku?. Dan aku juga masih terasa hati dengan ayah aku, cuma aku tahu tanggjawab aku dengan membantu dia setiap bulan. Itu tanggungjawab aku yang mana aku tak mahu ditanya di akhirat kelak. Tapi perempuan itu, bukan tanggungjawab aku.

Maaf, hati aku memang keras kerana aku telah melalui banyak kedukaan. Pernah satu hari, perempuan itu message aku di facebook, nak minta duit dari aku. Fuh, memang dasar tak tahu malu ya perosak rumahtangga ni, minta duit dari anak kepada perempuan yang rumahtangganya dia musnahkan? Are you serious?? Ini memang aku tak boleh nak hadam! Memang aku seen kan je. Aku tak balas!

Kepada bapa-bapa, mak-mak, yang ada hati nak bercurang tu… Ingatlah anak-anak. Hidup ni karma. Macam ibu aku, walaupun dulu susah, alhamdulillah, anak-anak berjaya, ibu aku pun sekarang hidup tenang, aman, gembira. Syukur. Aku dibesarkan tidak ada kasih sayang ayah, tapi Allah balas permudahkan urusan dalam pelajaran aku.

Ayah aku? Terlalu banyak berhutang, harta tiada, semua dah dijual. Ayah aku, perempuan itu dan anak-anaknya? Walaupun anak-anak mereka ada keluarga yang sempurna, kasih mak dan ayah itu ada, tapi diuji anak-anak dia tu liar, lari dari sekolah, masalah disiplin dan sebagainya. Karma. Sekali kita menyulitkan orang, Allah akan bayar cash, walaupun lambat. Aku ni pun tak berapa rapat dengan ayah aku sekarang ni, memandangkan dia meninggalkan aku bertahun-tahun. Kalau berjumpa, tiap kali bercerita terasa janggal, tak tau nak cerita apa.

Kepada yang ada hati nak tinggalkan anak, buang tanggungjawab ibu/bapa kepada anak, anda masih ada masa nak membetulkan keadaan. Jangan ikut nafsu. Ikut nafsu, mati. Banyak kes yang mak ayah bila tengah bercurang, bukan main eksen. Bila dah tua, mula “touching”, kononnya anak tak ingat mak ayah.

Kena muhasabah diri dulu sebelum touching-touching ya, zaman muda tengah gagah pekasa dulu, macam mana?. Ingatlah, bila adanya akad dan nikah, setia lah hingga ke hujung nyawa bersama pasangan anda. Saya bukan penentang poligami sebab saya tak mahu menentang hukum Allah. Boleh saja nak berpoligami, tapi jadikan anda yang lelaki/suami itu imannya semulia dan sehebat alim ulama, boleh berlaku adil serta aman dan damai rumahtangga.

Tapi kalau iman hanya secebis hati nyamuk, solat pun masih rompong, nafkah pun tak cukup, poligami hanya akan berakhir dengan dosa sebab tak mampu berlaku adil. Kepada yang ada hati nak berpoligami, nak tambah kuota, renung-renung kan lah. Sanggup ke nak tanggung dosa, hanya kerana nak memuaskan hati dan nafsu di dunia yang sementara?

Kepada para suami dan isteri, aku doakan semoga hubungan kalian kekal hingga ke syurga.

Sekian, terima kasih.

Sumber: Lily, Kisah Rumah Tangga

About Cite Malaya

Powered by Blogger.