Dalam video berdurasi 10 saat itu difahamkan berlaku pada awal bulan Oktober di mana dua suspek terbabit terdahulu memperlahankan motosikalnya untuk memerhatikan bahagian dalam kereta Perodua Axia sebelum meneruskan perjalanan ke depan.
Bagaimanapun, dua suspek berkenaan berhenti bersebelahan sebuah kereta dan terus menghentak cermin tingkap kereta itu dengan siku sehingga pecah, sebelum merampas barang dipercayai beg tangan milik mangsa.
Kejadian yang dilaporkan berlaku di kawasan Kepong atau Selayang itu sempat dirakam kamera dashcam orang awam.
Dua suspek terbabit dipercayai ditemani seorang lagi suspek yang berada di belakang, turut memecut melarikan diri selepas kejadian itu.
Sementara penunggang motosikal yang lain tergamam dan berhenti seketika melihat kejadian itu.
Video tersebut mendapat banyak perhatian netizen dan rata-rata memaklumkan kejadian itu kepada kenalan masing-masing agar sentiasa berhati-hati serta tidak meletakkan barang berharga di tempat duduk penumpang depan atau belakang bagi mengelakkan kejadian seperti itu berlaku.