Loading...
TR

'Sikap bongkak dan biadab pemimpin UMNO serang Mahathir, punca BN tewas PRU14' - Daim


Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin mendedahkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah hasil manipulasi terhadap laporan dalaman daripada kumpulan pemikir UMNO serta pengorbanan komponen PH demi negara, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, berdasarkan kajian dan laporan yang diterima daripada kumpulan pemikir UMNO, mereka berkeyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada PRU-14.

Walaupun begitu, beliau mengakui kemenangan PH turut dipengaruhi faktor lain termasuk sikap bongkak dan biadab pemimpin UMNO serta parti komponen BN yang menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berkempen di mana ia tidak disukai rakyat.

“Saya memang orang lama dan sudah lama dalam dunia politik, dunia perniagaan. Ada ramai kawan. Sebelum PRU 2018 saya bertemu dengan UMNO, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR dan terima banyak laporan.

“Saya sendiri dapat laporan daripada UMNO mengatakan mereka akan kalah. Masa kempen pun mereka beritahu akan kalah. Ini orang UMNO. ‘Think tank’ mereka masa kempen pun beritahu mereka akan kalah.

“Ini orang UMNO kerana kita ada kawan ramai. Saya sebelum itu ada juga nasihat bekas PM (Perdana Menteri) berjaga-jaga akan kalah. Sebabnya banyak. Bezanya itu saja. Kita tahu akan kalah.

“Mereka (UMNO) juga sombong sekali. Kalau dalam adat kita, mereka biadab juga dan kita tidak boleh terima. Mereka terlebih yakin. MCA juga biadab. Mereka kata ‘undi biru tua, jangan undi orang tua’. Rakyat Malaysia tidak boleh terima ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Soal Rakyat terbitan TV3 malam tadi dengan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor bertindak sebagai moderator.

Daim berkata, menyedari perkara itu, beliau merancang dua strategi bagi menumbangkan BN iaitu mewujudkan kepercayaan kepada rakyat bahawa MCA dan MIC sudah tidak relevan serta menyerang FELDA yang menjadi ‘simpanan tetap’ BN.

“Kita ada dua strategi dan paling penting masa (melaksanakan) mesti tepat. Maka mereka minta saya buat satu wawancara dengan Nanyang Siang Pau. Dengan cara itu kita ‘musnahkan’ MCA dan MIC dulu sebagai sudah tidak relevan. Selepas itu tumpu kepada UMNO.

“UMNO ketika itu bongkak, dia ingat mesti menang kerana ada isu, ada jentera, ada figura dan penyandang. Saya bincang dan kita kata, Dr Mahathir mesti menjadi ketua dan orang Melayu mesti terima dan orang bandar juga tidak ada masalah.

“Kita buat strategi dan Sabah kita jangan kacau. Biarkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sana. Lepas itu kita tumpu kawasan kita boleh menang, yang penting FELDA. FELDA dia (BN) punya ‘simpanan tetap’. Kalau kita pecahkan ‘simpanan tetap’, mereka tidak ada apalah,” katanya.

Daim turut mendedahkan beliau mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh mengenai rancangan menumbangkan BN.

“Hendak jumpa Anwar susah. Yang dibenarkan jumpa hanya ahli keluarga atau peguam. Maka, untuk atasi masalah ini saya jadi peguam balik. Dengan cara ini, saya dapat masuk di (Penjara) Sungai Buloh dan jumpa Anwar.

“Saya jumpa dan berbincang sebanyak enam kali. Selepas itu saya tidak dibenarkan. Bila tidak dibenarkan, saya tulis surat kepada Perdana Menteri dan tanya mengapa tidak boleh berjumpa kerana saya peguam.

“Sudah tentu mereka ada laporan tertentu maka saya tidak dibenarkan masuk. Tidak mengapalah sebab kami dah bincang. Yang perlu dibincang masalah ketika itu ialah masalah politik,” katanya.

Beliau turut menghargai pengorbanan DAP yang sanggup tidak menggunakan logo parti mereka pada PRU-14 bagi menunjukkan mereka sedia berkorban untuk negara.

“Bila orang tengok DAP sanggup berkorban, itu penting menunjukkan mereka bukan perkauman sebaliknya pentingkan negara. Lihat DAP bersedia berkorban, MCA sanggup atau tidak? Tidak sanggup, ini cara kita main.

“DAP dulu orang Melayu tidak boleh terima, tapi bila datang kepentingan negara, dia sanggup berkorban. Tidak guna simbol dia, itu pengorbanan,” katanya.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.