Loading...
TR

'Tolong cari anak saya' - Ibu bapa rayu cari anaknya perempuannya dilarikan lelaki ke Thailand


Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang dipercayai telah dilarikan oleh seorang lelaki berusia 19 tahun ke Thailand sejak April lalu, lapor Harian Metro

Menurut ibu bapanya, Mirsyah Safiyyah Muhammad Samuddin yang sepatutnya memasuki Kolej Vokasional di Tangok, Bachok dalam bidang jahitan pada 27 April lalu juga tidak kesampaian apabila dia dilarikan lelaki berkenaan sehari sebelum tarikh pendaftaran dan sehingga kini tidak dapat dikesan. 

Difahamkan, kejadian yang sama pernah menimpa anak sulung daripada dua beradik itu ketika mangsa berusia 13 tahun. Tetapi mangsa berjaya dijejaki semula di Kuala Krai dengan bantuan polis dan kes itu sehingga kini masih dalam perbicaraan mahkamah. 

Ibu mangsa, Salina Deraman, 36, yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Desa Melawi berkata, Mirsya Safiyyah yang dipanggil sebagai Kak Long itu pernah menghubunginya pada 26 Julai lalu menggunakan telefon talian Thailand yang memaklumkan bahawa dia mahu pulang ke rumah. 

"Saya terkejut dan terkedu sebaik mendengar suara Kak Long kerana sekian lama memendam rindu dan suaranya juga seperti cemas. Kak Long memaklumkan dia mahu pulang, namun dia sendiri tidak tahu di mana dia berada.

"Kak Long turut memaklumkan lelaki itu ada bersamanya sebelum talian terputus. Kehidupan kami sejak tiga bulan lalu seperti tiada jiwa berikutan hampir 24 jam memikirkan keadaan anak yang tidak diketahui nasibnya.

"Beberapa laporan polis sudah dibuat termasuk menemui Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan pegawai Bukit Aman selain membuat laporan polis di Balai Polis Golok, Thailand, namun sehingga kini tiada sebarang berita mengenai anak kami," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Salina, Mirsya mengenali lelaki itu yang tinggal di Jelawat ketika Tingkatan Satu di sekolah yang sama, tetapi untuk tempoh seketika kerana lelaki itu dibuang sekolah. 

"Namun, dia tidak berputus asa dan sering mencari anak saya ke sekolah hampir setiap hari menyebabkan saya mengambil keputusan memberhentikan sekolah anak saya selama setahun dan saya sendiri mengambil cuti tanpa gaji dalam tempoh berkenaan bagi menjaga Mirsya Safiyyah.

"Namun ketika berusia 15 tahun saya menghantar semula Kak Long ke sekolah SMK Beris Panchor kerana memikirkan masa depannya, namun sekali lagi lelaki berkenaan mengacau anak saya dan sering mencarinya ke sekolah.

"Perkara itu berlarutan sehinggalah anak saya dibawa lari dari rumah pada 26 April sehelai sepinggang. Saya sudah buntu dan tidak tahu mahu meminta bantuan siapa dan lebih bimbang jika mereka berkahwin di Thailand kerana datuk kepada lelaki itu tinggal di sana," katanya.

Salina berharap, pihak polis mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan Mirsya yang masih di bawah umur, selain mengharapkan anaknya pulang dengan selamat. 

"Sejak kehilangan Mirsya Safiyyah, kami juga menerima beberapa ugutan daripada keluarga lelaki itu yang mengugut supaya menarik balik laporan polis selain membenarkan mereka berkahwin. Usaha untuk mencari keluarga lelaki itu juga gagal apabila dipercayai kesemua mereka sudah berpindah ke Thailand," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Samuddin Mat Salleh, 46, menegaskan anaknya bukan mengikut teman lelaki, sebaliknya dilarikan lelaki berkenaan.

"Saya buntu kerana datuk kepada lelaki berkenaan pernah memaklumkan cucunya sudah berkahwin dengan anak saya. Malah, sekarang mereka juga dipercayai tinggal bersama di Thailand.

"Bagaimana mereka berkahwin sedangkan anak saya masih di bawah umur. Mungkin mereka hanya gertak saya kerana mahu saya menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap cucunya.

"Tolonglah selamatkan anak kami kerana ketika Mirsya Safiyyah menghubungi kami bulan lalu, dia meminta bantuan untuk pulang, namun dia sendiri tidak tahu di mana dia berada," katanya.

Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN), Thailand, mengesahkan Mirsyah belum lagi berkahwin di negara itu. Perkara itu berdasarkan semakan yang dibuat MAIN mendapati nama Mirsya Safiyyah Muhammad Samuddin, 16 dan lelaki berusia 19 tahun yang didakwa melarikan remaja itu tiada dalam sistem rekod mereka.

Kakitangan MAIN berkata, jika remaja berkenaan berkahwin di mana-mana daerah di Thailand mengikut Islam dan undang-undang, nama mereka akan tersenarai dalam sistem di pejabat badan itu.

"Kita percaya setakat ini pasangan berkenaan dipercayai belum berkahwin, Namun sekiranya berkahwin dengan sindiket, maklumat mereka tiada dalam sistem kami," katanya.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.