Loading...
TR

'Zeti tahu kewujudan RM2.6 bilion dalam akaun dan tidak mempersoalkannya, saya sangka ia tiada masalah' - Najib


Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menyedari kewujudan RM2.6 bilion dalam akaunnya ketika masih berkhidmat di Bank Negara Malaysia (BNM), sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Tetapi tidak pernah mempersoalkan kewujudan dana itu. 

Najib berkata, BNM sepatutnya memaklumkan kepada beliau sekiranya terdapat keraguan berhubung dana itu, tetapi perkara itu tidak berlaku dan menyebabkan dia menyangka ia tiada masalah. 

"Jika Bank Negara tahu tentang dana ini dan mereka ada bayangan atau pengetahuan bahawa mungkin akan ada keraguan tentang sumbernya, mereka patut beritahu saya. Tetapi ia tidak berlaku. Jadi, saya menyangka ia tiada masalah," katanya dalam temubual eksklusif bersama MalaysiaKini baru-baru ini. 

Malah kata Najib, Zeti langsung tidak memberi sebarang amaran dan maklum balas mengenai perkara itu. 

Dalam temubual itu juga, Najib menegaskan wang berjumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) itu adalah derma daripada anggota keluarga diraja Arab Saudi dan AS$620 juta daripada wang itu telah dikembalikan kepada pendermanya selepas PRU13. 

Namun, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivilnya turut mendakwa wang berkenaan berasal daripada 1MDB. 

Terdahulu, bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Puad Zarkashi pernah menyuarakan dakwaan sama bahawa Zeti menyedari kewujudan RM2.6 bilion itu dalam satu pertemuan dengan pelajar Malaysia di Australia pada 2016.

Puad berkata, pemimpin Umno bertemu Najib ketika skandal itu mula meletus pada 2015 dan Najib ketika itu mengakui menerima wang tersebut.

Najib juga mendakwa sudah berbincang mengenainya bersama Zeti, malah Bank Negara memberi kebenaran untuk wang itu dibawa masuk.

Beliau berkata, Najib turut memiliki dokumen kelulusan daripada Bank Negara dan sehingga kini, Zeti masih belum mengulas dakwaan Najib dan Puad itu.

Zeti adalah anggota jawatankuasa kerja yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyiasat wang RM2.6 bilion dan RM42 juta dalam akaun peribadi Najib.

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.