Bayi berkenaan kepada pasangan Mustafa, 32, dan Erlinasari, 30, diberi nama Gilang Andika, dilahirkan secara caesarean di Hospital Camatha Sahidya Muka Kuning pada 7 Mei lalu.
Mustafa berkata, anaknya memiliki dua wajah, dua otak dan berkongsi satu tengkorak serta satu badan. Walaupun Gilang tidak dilahirkan sempurna, namun Mustafa dan Erlinasari tetap menganggap Gilang sebagai pasangan kembar.
Oleh kerana keadaan Gilang sedemikian, bayi itu terpaksa menggunakan alat bantuan untuk menyusu. Gilang juga memerlukan pemantauan rapi kerana terdapat cecair di bahagian belakang kepalanya.
"Selepas selesai pembedahan, doktor kebingungan bagaimana mahu menyampaikan berita kelahiran Gilang. Mereka merahsiakan perkara ini selama seminggu daripada pengetahuan isteri saya.
"Apa pun selepas mengetahui perkara sebenar, kami tetap reda dan menyayangi Gilang sama seperti anak-anak kami yang lain," katanya.
Ketika hamil, Erlinasari berkata dia tidak merasa apa-apa yang ganjil, dan doktor yang melakukan ultrasound sebanyak tiga kali tidak menemui sebarang masalah pada kandungan Erlinasari.
Mustafa berharap, pemerintah daerah dan pihak berwajib dapat menyegerakan pembedahan mengeluarkan cecair berkenaan agar ia tidak mengancam nyawa anak ketiganya itu.
Sumber: Tribunnews, Astro Awani, Daily Mail.