Loading...
TR

Suami tampar isteri mahu keluar bekerja


Dipukul dan ditampar suami, itulah terpaksa ditanggung oleh seorang wanita hanya kerana dia mahu bekerja walaupun telah dilarang sebelum ditinggalkan di bawah jambatan Kuala Ibai, Kuala Terengganu, lapor Harian Metro

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, mangsa, 38, sebelum itu berada di kediaman mereka di sebuah flat di Kuala Ibai, mahu keluar bekerja. Namun, suspek berusia 40-an menghalang isterinya keluar bekerja kerana mahu menggunakan kereta milik isterinya sehingga berlaku pertengkaran di antara mereka. 

Suspek bertindak secara agresif dan merampas kunci kereta di tangan mangsa sebelum masuk ke dalam kereta yang digunakan isterinya untuk berulang alik ke tempat kerja. Mangsa yang enggan mengalah turut masuk ke dalam kereta sama untuk menghalang suaminya berbuat demikian. 

Malangnya, tindakan wanita itu menyebabkan suspek berang lalu menampar isterinya beberapa kali. 

Suspek kemudian meninggalkan mangsa di bawah jambatan Kuala Ibai dan beredar dengan memandu kereta itu. Mangsa kemudian menghubungi dan meminta bantuan adik iparnya untuk dihantar pulang ke rumah. 

Sebaik saja tiba di rumah, mangsa terkejut melihat kelibat suspek, lalu segera menghubungi polis kerana bimbang dengan keselamatan dirinya. Sebaik saja polis beredar, suspek sekali lagi naik hantu dan tercetus pertengkaran di antara mereka. Suspek yang hilang pertimbangan bertindak menampar mangsa.

Menurut sumber, mangsa mendakwa dia sering kali dipukul oleh suspek apabila berlaku perselisihan faham biarpun hanya disebabkan perkara kecil. 

Selain itu, mangsa juga pernah membuat laporan polis beberapa kali kerana tindakan suaminya yang mencederakannya termasuk pernah patah ibu jari kaki dan lebam seluruh badan selepas dipukul dalam kejadian terbaru awal bulan ini. 

Tidak lagi mampu bertahan dengan sikap ganas suspek dan bimbang keselamatan diri terancam, mangsa mengambil keputusan untuk membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.