Loading...
TR

'Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat jika UMNO hilang kuasa' - Najib minta rakyat tabah hadapi ujian Allah


Sudah tewas teruk di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan didakwa terlibat dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak mematahkan semangat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk melancarkan serangan terhadap Kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH). 

Dalam kenyataan Najib mendakwa Kerajaan mengetepikan agama Islam dan Bahasa Melayu, dan menegaskan bahawa orang Melayu tidak boleh mengharapkan kerajaan baru yang 'kekuatannya' datang daripada sokongan orang bukan Melayu. 

"Setakat ini, kerajaan PH mengizinkan pencabulan Bahasa Melayu, agenda Islam dan Bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka. 

"Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika UMNO hilang kuasa. Kita sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian Allah," tulisnya di Facebook malam tadi yang merujuk pada ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO pada Disember 2017 di mana dia memberi amaran bahawa orang Melayu akan kehilangan hak istimewa jika pembangkang berkuasa. 

Mengulas mengenai kepimpinan baharu dalam UMNO, Najib menggesa ahli-ahli UMNO meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan dalam usaha membina semula kekuatan parti Melayu itu. 

"Kita juga hendaklah belajar dari kesilapan lepas, kuatkan perpaduan dan kasih sayang sesama ahli UMNO.


"Kita hendaklah berhenti berbalah dan elakkan membuat tohmahan yang boleh menjejaskan perpaduan UMNO jika kita ingin memulihkan kekuatan parti dan mengangkat perjuangan agama, bangsa dan negara. 

"InsyaAllah dengan adanya perpaduan yang lebih kukuh dan kasih kepada parti, UMNO boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu," tulisnya.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.