Lebih kurang 30 wartawan kelihatan sedang menunggu di persimpangan itu yang dihalang dari dimasuki dengan garisan polis berwarna kuning, malah empat anggota polis dipercayai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul juga kelihatan berjaga di pintu masuk.
Bagaimanapun, lapor media berkenaan, ia merupakan pemandangan biasa semenjak Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib tewas teruk pada PRU14 lalu.
Setakat jam 9 malam, tidak kelihatan kenderaan pihak berkuasa mahupun pelawat yang memasuki atau datang dari rumah Najib.
Menurut beberapa orang pemberita berkata, mereka telah diminta untuk bersiap sedia di situ disebabkan para penyiasat akan menyiapkan siasatan ke atas skandal 1MDB dalam sedikit waktu lagi dan pihak berkuasa dijangka akan menangkap bekas perdana menteri keenam itu dalam masa terdekat.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pasukan penyiasat kini 'memiliki kes yang hampir sempurna' terhadap suspek utama skandal 1MDB, lapor Reuters pada 19 Jun lalu.
Sementara itu, nilai sebenar barang kemas dan jam tangan mewah dalam baki beg dirampas dari kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residences Apartment, Kuala Lumpur, bakal diketahui esok.
Melalui jemputan dikeluarkan Bukit Aman, sidang media akan dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh di tingkat 36, Menara KPJ pada 11 pagi.
Difahamkan, proses pengiraan barang kemas itu memakan masa lama kerana ia memerlukan bantuan pakar barang kemas dan jam tangan mewah bagi mengetahui nilai sebenar barang berkenaan.
Pada 25 Mei lalu, polis mendedahkan nilai rampasan 35 daripada 72 beg yang berisi wang tunai termasuk 26 mata wang asing mencecah RM114 juta.
Polis turut merampas 284 kotak beg berjenama mewah dalam serbuan tersebut.
Rampasan itu dibuat pada 18 dan 20 Mei, berkaitan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro