Loading...
TR

'Kerajaan cuba hapuskan legasi saya' - Najib


Kerajaan perlu lebih telus dan bertimbang rasa apabila membatalkan projek atau inisiatif kerajaan terdahulu yang dilaksana untuk manfaat rakyat dan negara, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dalam tempoh dua minggu, kerajaan Pakatan Harapan sudah membatalkan projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura dan Laluan 3 Transit Aliran Massa (MRT3) walaupun kajian selama bertahun-tahun menunjukkan manfaat ekonomi melampaui kos pembinaannya.  

Katanya projek MRT3 juga diperlukan bagi melengkapkan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih berintegrasi di Lembah Klang dan tanpanya, Lembah Klang akan terus berdepan dengan masalah kesesakan jalan raya.

“Saya tidak kisah jika kerajaan Pakatan berusaha untuk memadamkan segala legasi ditinggalkan sepanjang sembilan tahun saya sebagai Perdana Menteri.

“Namun kerajaan perlu lebih telus dan bertimbang rasa apabila mereka mula membatalkan pelbagai projek atau inisiatif yang dimulakan untuk manfaat rakyat dan negara, hanya kerana mahu memadamkan legasi saya atau mempunyai persepsi, ia dimulakan oleh saya, lantas ia perlu dihenti atau dipadamkan,” catatnya dalam laman Facebook beliau pada Jumaat.

Najib turut mempersoalkan hasrat kerajaan untuk membatalkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) walaupun Fasa 1 projek itu bagi jajaran Gombak hingga Kota Bahru sudah siap lebih 20 peratus.

“Tidakkah siapa sedar, tiga negeri yang bakal menerima manfaat paling banyak daripada ECRL ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, adalah negeri yang bukan di bawah kerajaan Pakatan?” katanya.

Beliau berkata ketika menjadi perdana menteri, beliau telah memastikan semua negeri menerima manfaat pembangunan infrastruktur asas termasuk negeri menerusi pentadbiran pembangkang, yang melibatkan peruntukan berpuluh bilion ringgit, antaranya penstrukturan bekalan air di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mendedahkan laporan impak ekonomi dan kajian kebolehlaksanaan bagi semua projek, untuk diakses rakyat.

“Kerajaan tidak seharusnya membatalkan projek atas motif yang salah atau memberi alasan sebagaimana mereka lakukan pada kenyataan mengenai hutang negara yang tidak tepat.

“Tetapi mereka juga perlu mengambil kira pembangunan positif ekonomi, peluang pekerjaan yang akan hilang serta manfaat buat rakyat yang akan disumbang projek ini untuk negara,” kata Najib. - Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.