Seorang kanak-kanak berusia 2 tahun, lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tong air di kediaman keluarganya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10 pagi tadi, mangsa, Muhammad Harif Iskandar Rosli, dipercayai bermain seorang diri di dalam bilik air tanpa disedari oleh ibu bapanya.
Bapa mangsa, Rosli Johari, 37, berkata, kejadian itu disedari oleh kakak mangsa, Ayuni, 9, apabila menyedari adiknya tiada di dalam rumah yang sebelum itu bertanya kepada ibunya (Nor Hanam Mat Yassinm 27), di mana keberadaan adiknya itu.
"Kemudian Ayuni periksa di dalam bilik air dan jumpa adiknya itu berada dalam keadaan terlangkup di dalam tong air dan didapati sudah tidak sedarkan diri," katanya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Besut, namun pihak hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan kejadian itu dan pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu yang diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.