Loading...
TR

Ahli politik, kerabat dan bekas pegawai kerajaan monopoli bekalan ubat bernilai berbilion ringgit


Satu pendedahan yang terperinci dan mengejutkan tentang bagaimana syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik yang rapat dengan kerajaan dulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit, memberikan mereka monopoli yang mungkin menjadi faktor peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan seluruh negara.

Dokumen 12 halaman yang dilihat FMT, yang dihantar ke Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini, mengesahkan kenyataannya minggu lepas yang mengatakan gergasi farmaseutikal Pharmaniaga tidak memonopoli bekalan ubat-ubatan seperti yang diperkatakan orang-ramai.

Sebaliknya, dokumen itu menyenaraikan 20 syarikat dengan kaitan kepada ahli politik ternama, termasuk bekas menteri daripada pimpinan tertinggi Umno.

Syarikat-syarikat terlibat, yang memainkan peranan sebagai “ejen tender” dalam tempoh 4 tahun antara 2013 dan 2016 meraih kontrak-kontrak bernilai RM3.7 bilion.

Ejen-ejen tender itu, menurut dokumen tersebut, bertindak bagi pihak lebih 70 syarikat farmaseutikal, yang semuanya hanya menggunakan “ejen tender yang sama yang ada kaitan dengan sebilangan pegawai kerajaan”.

“Sebabnya jelas, tidak lain dan tidak bukan ianya rasuah,” kata dokumen itu.

Pemerhatian FMT mendapati sebanyak RM1.4 bilion, atau kira-kira 38%, pergi ke 1 syarikat yang dimiliki oleh bapa saudara kepada seorang bekas menteri dan ahli politik Wanita Umno.

Beberapa watak lain dengan kaitan kepada syarikat-syarikat terlibat termasuk ahli kerabat diraja, bekas pegawai tinggi Felda, bekas duta ke Amerika Syarikat, bekas pegawai Kementerian Kesihatan dan bekas menteri Wilayah Persekutuan yang tewas pada pilihan raya baru-baru ini.

Difahamkan bekalan ubat kepada kerajaan oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa dilakukan melalui syarikat-syarikat subsidiari melalui proses tender.

Menjelaskan proses itu, pengadu berkata “ejen tender” dilantik oleh syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa.

“Syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa berpakat sulit dengan ejen tender untuk mengatur bidaan.

“Apabila mereka enggan membekalkan atau berurusan dengan penjual dan ejen tender lain, syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa itu menganugerahkan ejen-ejen tender suatu monopoli, dan dengan itu memastikan kemenangan automatik dalam satu-satu tender,” kata pengadu, yang identitinya dirahsiakan.

“Syarikat asing tidak boleh terlibat secara langsung dalam tender kerajaan tetapi mesti melalui pengedar, penjual atau ejen tender tempatan.

“Apabila Kementerian Kesihatan mengeluarkan satu tender pemerolehan, syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa akan mengambil ejen tender Bumiputera untuk membida tender mengukit spesifikasi tender itu,” kata dokumen itu.

Pengadu menjelaskan ejen tender dibayar komisyen pada peratusan tertentu berdasarkan setiap tender yang dimenangi, dan meraih untung bersih kerana mereka tidak mengendalikan pemasaran, logistik atau aktiviti pengedaran.

“Daripada seawal-awal 2011 hingga sekarang, syarikat-syarikat farmaseutikal antarabagsa merasuah pegawai kerajaan tinggi/ahli politik untuk membantu mendapatkan atau mengekalkan perniagaan di Malaysia lalu menyalahi Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) Amerika Syarikat.

“Bayaran rasuah ini disembunyikan sebagai bayaran komisyen kepada ejen-ejen tender,” tambahnya.

Dzulkefly ketika dihubungi FMT berkata pejabatnya sedang meneliti dokumen ini. - Free Malaysia Today

About Cite Malaya

Powered by Blogger.