Loading...
TR

UMNO tuntut wang rampasan RM120 juta dikembalikan


UMNO hari ini meluahkan rasa kesal dan menuntut pihak polis mengembalikan wang yang dirampas dari enam lokasi yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor MalaysiaKini

Menurut Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO berkata, wang yang didakwa dana politik mereka untuk pilihan raya dan pengurusan parti itu dirampas semasa proses dipindahkan kepada kepimpinan baru parti itu.  

"Secara umumnya, presiden UMNO bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk UMNO termasuk dana bagi pilihan raya umum (PRU). Hal ini termaktub di dalam perlembagaan parti. 

"Dana sumbangan kepada parti politik ini diterima oleh semua parti-parti politik di negara ini dan hal ini tidak ada bezanya dengan UMNO yang mantan presiden kita iaitu Datuk Seri Najib Razak telah mendapatkan sumbangan dana untuk kempen sebelum PRU14 dan juga dana untuk menguruskan parti. 

"Untuk makluman, semasa mantan presiden Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai presiden kita, beliau juga telah menyerahkan RM1.2 bilion kepada parti dan tiga juta ahli," kata kenyataan yang dikeluarkan unit tersebut. 

Jumaat lalu, polis telah merampas wang tunai (hampir RM120 juta) dan barangan bernilai di enam lokasi yang dipercayai berkaitan dengan Najib dan 1MDB. Najib mendakwa wang tunai yang dirampas dari Pavilion Residences Kuala Lumpur itu adalah derma dari akan-rakan untuk kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN). 

Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO itu juga menegaskan bahawa pembiayaan politik adalah dibenarkan di bawah undang-undang negara dan disebabkan itu mereka berusaha memulihkan dana ini dan memohon pihak polis melepaskan dan mengembalikan dana itu kepada UMNO setelah selesai proses siasatan. 

"UMNO kini dalam proses membina semula parti dan pulangan dana parti ini akan membantu parti untuk mengukuhkan proses pembinaan semula parti yang sedang dijalankan hari ini," kata unit itu. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.