Loading...
TR

Penjawat awam negeri terima bonus 3 bulan gaji jika BN tawan Selangor - Noh Omar


Penjawat awam negeri Selangor akan mendapat bonus tiga bulan gaji sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya menawan negeri itu daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya Tan Sri Noh Omar berkata pemberian bonus itu akan diperuntukan dalam bajet kerajaan negeri pada 2019.

"Pemberian bonus ini adalah relevan berbanding pengumuman menteri besar Datuk Seri Azmin Ali berhubung perkara yang sama sedangkan kerajaan negeri pada masa ini menanggung pelbagai hutang berjumlah berbilion ringgit.

"Jadi saya nasihatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan kenyataan Mohamed Azmin itu," katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sawah Sempadan di sini, hari ini.

Turut hadir, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong Datuk Shamsudin Lias dan calon BN DUN Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak.

Semalam, Mohamed Azmin dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri akan memberikan tiga bulan gaji sekiranya pakatan pembangkang kekal mentadbir Selangor pada pilihan raya kali ini.

Mengulas lanjut, Noh yang juga calon BN Parlimen Tanjong Karang berkata pihaknya yakin Tanjong Karang akan kekal menjadi kubu kuat BN diperingkat Parlimen dan DUN berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas pengundi oleh PDM di sini.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini kita juga yakin akan memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen di Selangor," katanya dan menambah, BN juga menerima respon yang baik daripada pengundi sepanjang 11 hari calon parti berkempen.

Beliau berkata pihaknya juga yakin dapat menarik bukan sahaja pengundi atas pagar tetapi juga condong kepada pembangkang. - BERNAMA

About Cite Malaya

Powered by Blogger.