Satu keluarga di Yunnan, China, memberi seekor 'anak anjing' dua tahun lalu dan baru menyedari haiwan itu sebenarnya seekor beruang hitam, lapor Shanghaiist.
Difahamkan, keluarga berkenaan membeli haiwan itu di tepi jalan ketika melancong pada tahun 2016. Individu yang menjual haiwan itu mendakwa haiwan itu adalah anjing baka Tibetan mastiff.
Berminat dengan haiwan itu, keluarga berkenaan mengambil keputusan untuk membeli dan membelanya. Namun, apa yang peliknya ialah, 'anjing' itu semakin hari semakin membesar.
"Saiznya yang semakin membesar menampakkan haiwan itu seperti beruang hitam," kata pemiliknya yang dikenali sebagai Su yang masih enggan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
"Walaupun saya agak gerun dengan beruang hitam, selepas membelanya selama dua tahun, saya agak menggemarinya," katanya.
Bagaimanapun, haiwan itu tidak berhenti membesar dan mula menunjukkan kemampuannya untuk berjalan dengan dua kaki. Keluarga itu akhirnya terpaksa mengalah dan menghubungi pihak berwajib untuk datang membantu.
Kakitangan di Pusat Penyelamat Hidup Liar Yunnan tiba di kediaman keluarga itu di Kunming untuk mengambil beruang berkenaan yang beratnya mencecah 200 kilogram dengan cara disuntik dengan ubat pelali.
Meskipun keluarga berkenaan merindui ketiadaan beruang itu, sekurang-kurangnya perbelanjaan seisi rumah mereka tidak terbeban lagi. Su berkata, sebelum ini beruang itu diberi makan sekotak buah-buahan dan dua baldi mee setiap hari.