Tindakan pelakon Johan As'ari memuat naik tweet berbaur sindiran terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengundang rasa kurang senang netizen khususnya pengikut setia Ahli Parlimen Langkawi itu.
Jam 12.23 tengah semalam, Johan memuat naik tweet berikut:
"Cuba check rumah Tun, mesti banyak juga duit," tulisnya disertai dengan emoticon mata duitan.
Tindakannya itu menyebabkan ada segelinir pengikutnya mula hilang rasa hormat dan memilih untuk tidak lagi mengikuti akaun Twitter Johan. Malah ada yang menganggap Johan sengaja mencari publisiti murahan.
Walaupun dikecam, Johan yang dihubungi pihak Sinar Harian mengakui bahawa dia yang menulis tweet tersebut kerana berasa kasihan dengan keluarga bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Johan kasihan dengan DSN dan sekeluarganya. Maaflah andai Johan mengguris hati ramai pihak," katanya.
Dalam pada itu, Johan juga menafikan dakwaan kononnya dia tidak menghormati Tun Dr Mahathir. Sebaliknya dia amat mengagumi kepintaran Pengerusi Pakatan Harapan itu.
"Ya, Johan amat mengagumi Tun M. Beliau seorang yang begitu pintar. Semua Perdana Menteri ada kelebihan yang tersendiri. Pasti ada hikmah di dalam apa jua situasi. Johan sentiasa mendoakan yang terbaik buat Malaysia tercinta," katanya.