Baru-baru ini, pengkritik dan pengulas fesyen tempatan, Zaihani Mohd Zain memuat naik status ketidakpuasan hatinya terhadap tetamu berbadan besar yang menghadiri acara pertunjukan fesyen, di laman Facebook mengundang kecaman dari pelbagai pihak.
Dalam statusnya, Zaihani berkata, "Kalau berat badan melebihi 60 kilogram (KG), tak payahlah datang, sebabnya paha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak.
"It's so awkward and uncomfortable for the persons seated next to you!!!" tulisnya.
Status Zaihani ini mengundang kemarahan ramai apabila netizen dan juga golongan artis tampil mengecam statusnya yang dianggap tidak sensitif dan ditujukan kepada golongan berbadan besar.
Bagaimanapun, hari ini Zaihani menafikan dakwaan itu dan menegaskan status itu sekadar keluhannya akan perkara yang berlaku pada dirinya semasa menghadiri satu pertunjukan fesyen.
"Status Facebook saya itu satu keluhan tentang apa yang saya telah dan sedang lalui ketika acara berkenaan. Saya tidak menujukan status tersebut kepada sesiapa, menasihati atau menegur mana-mana pihak. Apatah lagi untuk mengutuk individu yang memiliki berat badan berlebihan. No body shaming!
"Saya berkongsi keluhan saya di Facebook dan berkongsi kepada kenalan rapat sahaja. Malangnya status itu disalah ertikan dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Jelas Zaihani lagi, berat badan 60 kg itu hanyalah anggaran bagi lelaki yang duduk bersebelahan dengannya dalam acara tersebut.
"Saya tidak pasti berat badan sebenar lelaki itu, 60 kg sekadar anggaran saja. Jadi, 60 kg itu sebenarnya satu penjelasan betapa besarnya saiz badan dia berbanding saya yang hanya 50 kg.
"Lelaki itu duduk terkangkang sehingga mengganggu ruang duduk saya menyebabkan saya rasa kurang selesa.
"Untuk menegurnya pada waktu itu saya rasa kurang sesuai. Jadi, saya berkongsi keluhan itu di Facebook sahaja. Tidak sangka pula status itu disalah ertikan dan menjadi viral," katanya.
Zaihani berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk menegur individu berkenaan sekiranya individu itu adalah sahabatnya sendiri. Malah katanya, dia seringkali menghadapi situasi yang sama ketika menghadiri acara pertunjukan fesyen yang mana tetamu sepatutnya duduk dengan lebih tertib tanpa mengganggu keselesaan tetamu lain.
Sumber: Astro Gempak