Loading...
TR

Parah ditikam pisau pemotong bawang


Lelaki parah ditikam dengan pisau pemotong bawang selepas penyewanya berang mangsa membuat bising dalam kejadian di Kampung Kolopis, di Penampang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) parah di perut dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Difahamkan, kejadian disedari oleh rakannya lalu menghantar mangsa ke HQE sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan itu dipercayai selepas suspek menegur mangsa yang membuat bising.

"Suspek yang tidak puas hati lalu menikam mangsa di bahagian perut sebelah kiri dipercayai menggunakan sebilah pisau pemotong bawang yang diambil di tempat kejadian.

"Akibat tikaman itu, mangsa parah dan berada dalam keadaan kritikal," katanya ketika dihubungi.

Mohd Haris berkata, hasil siasatan dan risikan, suspek berusia 47 tahun yang juga penyewa rumah milik mangsa ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pada jam 3 pagi.

"Siasatan lanjut juga mendapati sebelum kejadian mangsa dan suspek bersama-sama meminum arak buatan sendiri atau tuak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.