Namanya telah diletakkan sebaris dengan nama saintis yang terkenal dan negara luar telah mengiktiraf kejayaannya melalui penyelidikan yang telah dilakukan. Robiah Rahim, nama yang begitu asing di dalam pencarian nama-nama terkenal di dalam internet dan juga media massa.
Wanita kelahiran Johor ini bagaimanapun terus menjadi bualan setelah dirinya membentangkan kajian mengenai kilat melalui karya sulungnya yang bertajuk “Kaedah untuk mengenalpasti lokasi panahan kilat ke atas struktur” yang telah dibentangkan di Persidangan Teknikal Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur.
Kaedah yang ditulis oleh Robiah dikenali sebagai Kaedah Collection Surface Method (CSM). Kaedah ini adalah berdasarkan pemerhatian kepada kerosakan bangunan akibat panahan kilat dan bukannya pada kabel elektrik.
CSM memudahkan jangkaan lokasi panahan kilat supaya pengalir kilat dapat dipancarkan di dalam kedudukan yang tepat. Teknik yang digunakan ini belum dibangunkan oleh mana-mana saintis sebelum ini. Namun, hasil kajiannya itu tidak diangkat di negara sendiri kerana taraf pendidikannya yang tidak memiliki kelayakan pascasiswazah dan tidak mempunyai pengalaman makmal.
Walau bagaimanapun, hasil usahanya tidak bernokhtah di situ. Ahli akademik dan pakar kilat dari Universiti Queensland, Professor Mat Darveniza yang menghadiri persidangan ini mengiktiraf hasil kerja Robiah sebagai kejayaan saintifik yang besar.
Dia turut mencadangkan CSM menjadi asas bagi kaedah lokasi perintang kilat yang baharu untuk bangunan tinggi yang kompleks dan moden. Cadangan Darveniza menjadi realiti apabila prinsip CSM dimasukkan dalam piawaian perlindungan kilat, AS1768 pada tahun 2003.
Robiah telah diangkat sebagai wanita pertama di dunia yang membangunkan kaedah perletakan perintang kilat setelah 200 tahun berlalu. Pengiktirafannya juga telah meletakkannya sebaris dengan nama saintis terkenal seperti Gay Lussac dan James Clerk Maxwell.
Kaedah yang telah diperkenalkan oleh Lussac ialah dia membangunkan Kaedah Perlindungan Angle (PAM) pada 1823, manakala Maxwell mengembangkan Kaedah Mesh (MM) pada tahun 1876. Kaedah ini merujuk kepada teknik meletakkan rod kilat dan konduktor di atas di sebelah bangunan untuk melindungi bangunan ini dari terus terkena serangan kilat.
Pada tahun berikutnya, CSM telah digunakan di Malaysia setelah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi meluluskan piawaian antarabangsa sebagai standard perlindungan kilat Malaysia yang baru, MS-IEC62305.
Pakar Eropah menyatakan bahawa CSM boleh menyediakan perlindungan 98 peratus terhadap serangan kilat secara langsung jika digunakan dengan betul.
Pada tahun 2006, prinsip-prinsip CSM dimasukkan dalam piawaian perlindungan kilat antarabangsa yang baru, IEC62305, dengan itu menjadikan kaedah Robiah yang digunakan secara global.
Kini, nama Robiah Rahim telah menjadi tular di media sosial terutamanya di Twitter setelah seorang penulis di NST, Hartono Zainal Abidin membongkarkan kejayaan wanita itu. Rata-rata netizen berbangga dengan kejayaan Robiah dan mengucapkan tahniah di atas kejayaannya.
Sumber: NST