Loading...
TR

'Dia nampak lelaki itu, tetapi kami bertiga hanya dengar suara...'


Salam admin.  Nak kongsi satu cerita yang melibatkan aku dengan kakak aku yang dibuka hijab itu 

Waktu itu kami student UiTM dan menyewa di luar. Tempat menyewa itu dirahsiakan, nanti jadi kontroversi pula kalau didedahkan. Rumah sewa aku ini disewa seramai lima orang dan kakak aku pun selalu juga datang tidur. 

Nak dijadikan cerita, malam itu kami tinggal empat orang tengah sibuk buat assignment di ruang tamu rumah. Rumah kami ini menghadap sebuah lagi bangunan. Tingkap di ruang tamu terbuka sebab nak merasa angin malam. 

Rumah aku ini biasanya ruih dengan gelak ketawa dan petikan gitar kawan aku. Orang suara sedap memang berbakatlah kan? Tak macam aku, ala-ala katak memanggil hujan. Aku selalunya tukang renyih saja. Masalahnya ada budak-budak ini masing-masing suara tertelan sound system. Bercakap punyalah kuat, ketawa siap mengilai berdekah-dekah. 

Berbalik kepada cerita malam itu, dua orang lagi kawan aku datang ke rumah kami sebab sama-sama nak selesaikan assignment. Diorang balik betul-betul tengah malam dan kami hantar ke bawah. Selepas naik, baru saja duduk bersila menghadap laptop masing-masing, sekali kami disergah dengan bunyi yang sangat kuat. 

Aku ingatkan bunyi hon lori pasir, tetapi takkanlah lori pasir nak masuk kawasan rumah kami yang kecil ini? Tapi bila fikir-fikir balik, bunyinya mengingatkan aku kepada penobatan sultan-sultan Melayu macam permulaan sebelum nobat dimainkan itu. 

Pada fikiran aku, bunyi kuat itu seperti bunyi semboyan atau bunyi nafiri. Korang googlelah sendiri. Tetapi seramlah sebab dah tengah malam, siapa pula main alat muzik tradisional kuat-kuat seperti itu dan aku tak rasa alat muzik itu diperolehi. Punyalah kuat macam orang itu tiup dalam rumah. Tak pernah dengar lagi orang kawasan itu mainkan alat bersebut.

Selepas itu tak sempat kami nak react, kami disergah pula dengan suara lelaki macho habis a.k.a suara dalam tetapi sergahan itu lebih kepada seperti orang membaca mantera jawa. Seingat aku, ayat pertama yang aku dengar "Narong..." dan sesuatu, sesuatu. 

Tiga kali suara itu mengulangi ayat yang sama dengan tersangatlah nyaring. Masing-masing apa lagi, bangun dan terus berlari tak cukup tanah. Tapi peliknya rasa jauh sangat bilik yang kami nak lari masuk itu. Automatic masing-masing lari menuju ke bilik hujung mungkin sebab ada seorang lagi housemate aku yang sedang tidur di dalamnya. Ikutkan rumah ini tak besar mana pun, dalam 10 langkah sepatutnya dah sampai ke bilik hujung dari ruang tamu. Kecil saja tetapi nak sampai ke tombol pintu itu punyalah jauh. 

Tiba-tiba entah dari mana kekuatan aku dapat, aku keluar semula ke ruang tamu bawa kerusi plastik nak ketuklah lelaki mana yang gatal panjat tingkap ruang tamu kami. Elok saja aku sampai ke tengah-tengah ruang tamu, lutut aku lembik macam nak rebah. Waktu itu baru aku sedar tidak mungkin manusia. Rumah itu rasa panas sangat. Kami pun telefonlah kawan-kawan beritahu kami dikacau/terkena gangguan. 

Sewaktu menunggu bantuan sampai, kami brainstorm semula apa yang berlaku. Waktu ini aku perasan seorang demi seorang menangis seperti histeri. Nasib baik tak melarat. Housemate aku yang tidur tadi dah terjaga dengan dia-dia siap nak menangis. Salah seorang housemate aku beritahu badannya bercalar ditolak dengan angin kuat dan terkena pada bingkai pintu bilik aku. Sambil bercerita, member ni siap menangis dah. 

Waktu kejadian, housemate aku ini duduk depan pintu bilik aku yang tertutup dan dia menghadap aku dengan kakak aku. Aku pula duduk menghadap dia dan sebelah kanan kakak aku. Kakak aku pula duduk betul-betul menghadap tingkap yang terbuka itu. Kakak aku beritahu dia nampak lelaki bermisai tebal kulit sawo matang, pakai baju silat berwarna hitam dan duduk bersila seperti bertapa dalam gua, terapung nak masuk rumah kami melalui tingkap sambil membaca mantera. 

Yang kami tiga orang ini hanya mendengar suara lelaki dengan bunyi kuat itu sahaja. Tetapi aku tak hairan pun sebab kakak aku ini memang boleh nampak sixth sense ini. Nasib baik bukan aku yang nampak. 

Yang kami pelik, cari kami berlari itu sepatutnya laptop masing-masing dah jatuh ke lantai sebab semuanya kami langgar. Tetapi laptop masing-masing elok terbuka atas kotak masing-masing (kami tak ada meja, duduk bersila atas lantai). Elok saja bantuan sampai, kami menumpanglah di rumah kawan aku itu. 

Selepas itu kami siap buat bacaan yassin lelaki dan perempuan beramai-ramai. Selepas beberapa hari kami ada panggil ustaz datang ke rumah untuk cleansingkan semula rumah sewa itu. Malam sebelum ustaz nak datang itu, ustaz pula diganggu dan telah diberi amaran agar jangan datang ke rumah kami. 

Aku tahu cerita ini pun dari housemate aku yang beritahu sebab ustaz ini adalah kawan kepada kakak dia. Ustaz itu tak adalah menceritakan kepada kami yang berhati tikus ini. Ustaz beritahu memang ada gangguan sebabnya rumah sewa kami ini rumah anak dara.

Kami pula selalu ketawa mengilai bising di waktu malam dan kami sidai underware depan tingkap ruang tamu bahagian bawah. Tetapi orang tak nampak sebab dihalang dengan dinding. Benda itu suka sebab tempat itu adalah laluan angin. 

Seingat aku, seminggu dua minggu jugalah kami mandi di tandas tanpa menutup pintu. Main jerit-jerit beritahu masing-masing bahawa ada orang dalam tandas dan jangan lalu depan tandas (hampeh, penakut). Lama juga baru hilang rasa seram dan panas yang automatik bila masuk rumah itu. 

Cerita ini viral di antara penyewa-penyewa di kawasan itu. Barulah kami diberitahu yang kawasan kami sewa itu memang area panas yang menjadi rebutan. Macam-macam yang pengawal keselamatan jumpa sewaktu bangunan itu mula-mula dibuka. Bawang putihlah, patunglah, macam-macam benda syirik lain. Kiranya kami ini memang nak kena disebabkan lagha masing-masing di tempat yang memang dah sensitif. 

Aku sampai sekarang dah nak masuk anak tiga ini masih ingat lagi suara mantera itu sebab Ya Rabbi seramnya dengan bunyi alat muzik seperti nobat istiadat Melayu dan mantera yang tidak difahami ini. Ditambah pula gambaran kakak aku nampak lelaki bertapa itu. 

-kinkasihaufa-

Hantarkan kisah seram anda ke thereportermyofficial@gmail.com

About Cite Malaya

Powered by Blogger.