Loading...
TR

'Dah buat salah, dia pukul orang pula?' - Mangsa dakwa dipukul pemandu Alphard


Seorang individu mendakwa dia telah dipukul oleh pemilik kereta Toyota Alphard yang berang dengan tindakannya merakam gambar kereta wanita terbabit yang menghalang laluan keluar kereta mangsa. 

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari di Taman Bayu Tinggi, Klang, Selangor, mangsa, Angie Ng, mendakwa dia telah dipukul wanita berkenaan. 

Difahamkan sebelum kejadian itu berlaku, Angie mendapati ada sebuah kereta yang menghalang laluan keluar keretanya dari tempat letak kereta. 

"Saya mendapati ada sebuah kereta Toyota Alphard berwarna putih telah diletakkan di belakang kereta saya dan menghalang laluan keluar. Saya cuba membunyikan hon beberapa kali untuk menarik perhatian pemilik kereta tersebut untuk datang mengalihkan keretanya," katanya. 

Malangnya, tindakan Angie itu tidak beroleh kejayaan lalu dia mengambil keputusan untuk merakam gambar kereta itu dan bertanya pada orang-orang di sekitar kawasan itu sama ada mengenali pemilik kenderaan itu atau tidak. 

"Tiba-tiba datang seorang wanita bertanya kenapa saya merakam gambar keretanya? Saya cuba memberi penjelasan kepadanya tetapi dia terus mengangkat telefon bimbitnya dan memukul bahagian belakang badan saya. 

"Malah dia cuba merampas telefon bimbit saya. Mujur ada seorang lelaki yang ternampak insiden itu terus datang menarik wanita itu dan meleraikan kami sebelum wanita itu mengalihkan kenderaannya," katanya. 






Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatannya di kemudian hari. 

Sementara itu di media sosial, netizen mengecam tindakan tidak bertamadun wanita terbabit yang jelas sekali telah melakukan kesalahan dan menyusahkan pengguna jalan raya lain. Malah wanita itu tergamak mencetuskan pergaduhan dan memukul mangsa yang ternyata tidak bersalah. 

Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil jalan mudah atau mementingkan diri sendiri dengan meletakkan kenderaan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Biar jauh sedikit, asalkan tidak menyusahkan orang.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.