Loading...
TR

'Akak tu main telefon' - Muka pecah akibat guna telefon ketika memandu


Adakalanya amat sukar untuk menegur golongan pemandu yang tidak bertanggungjawab ini. Sudah banyak iklan pesanan khidmat masyarakat ini dikeluarkan, namun masih ramai yang tidak mengendahkan amarannya. Apabila sudah ditimpa musibah, barulah nak sedar dan berhenti. 

Dalam kejadian yang dikongsikan oleh Khairul Ahmad, seorang pemandu wanita pecah mengalami kecederaan dan pendarahan teruk di bahagian mukanya akibat dihentak dengan telefon bimbit dek letusan airbag, impak dari kemalangan yang berlaku.

Difahamkan, tiga batang gigi depan mangsa juga hilang akibat dari kemalangan yang sepatutnya dapat dielakkan sekiranya mangsa fokus pada pemanduannya. Bukannya memandu sambil menggunakan telefon bimbit. 

Kisah akak "pecah muka" ketika main handphone.

Ini kejadian berlaku pada petang semalam ketika saya pulang dari kerja. Waktu puncak, kenderaan bertali arus. Sekejap bergerak sekejap berhenti. Tiba-tiba dengar hon bertalu-talu. Jenguk cermin belakang, nampak ada mat motor sedang bagi jari tengah pada sebuah kereta selang sebuah di belakang saya.

Saya terus memandu dan jalan sesak kembali di hadapan. Saya berhenti, kereta belakang pun berhenti. Mat motor tadi lalu melewati saya dengan muka tak puas hati.

Tiba-tiba, 'BAMMMM!' bunyi dentuman kuat di belakang. Usai saya pandang sahaja cermin belakang, 'BAMMMM!' bunyi kali kedua kedengaran apabila kereta saya pula dihentam. 

Allah. Allah.

Saya ke tepi dan berhenti, lalu keluar. Kereta di belakang saya juga ke tepi dan keluar sambil bergegas membuka pintu belakang. Nampak beliau sedang mengeluarkan anaknya. Saya terus ke kereta beliau dan bertanya semuanya okay tak, takut apa-apa terjadi pada anak perempuan beliau yang berusia sekitar 5 tahun.

"Ok bang, takde apa, terkejut jer ni" jawab lelaki tersebut.

Mujur anaknya duduk dalam carseat. Selamat beb, kalau jenis berdiri melompat-lompat itu memang nahaslah. Bahagian belakang kereta dia remuk teruk. Memang kuat gila bunyi berlanggar tu. Saya lantas pergi ke kereta yang melanggar kami, masih di tengah jalan. Bahagian depan remuk teruk, berasap, air menitis dan memancut.

Nampak seorang akak sedang kaku. Saya buka pintu nak tengok keadaan beliau. Allahuakbar! Darah penuh muka, hidung dan mulut. Baju turut lencun dengan darah. Badannnya menggeletar akibat terkejut.

"Kak, kak. Akak ok ke?" tanya saya.

Beliau tak dapat menjawab. Bibir menggeletar dipenuhi darah. Muka juga penuh darah. Terdengar tangisan berserta air mata yang mengalir deras sederas darah yang mengalir keluar dari hidung.

Airbag dah pecah, begitu juga telefon yang pecah dan retak seribu skrinnya tanpa penutup, tanpa bateri yang terpelanting entah ke mana.

Saya lantas menyuruh lelaki bersama anak perempuan tadi untuk telefon ambulans. Orang ramai mula berhenti dan datang menghampiri. Kemudian kami bersama tolak kenderaan akak tadi ke tepi.

"Tadi ada motor hon-hon kat dia bang. Siap tunjuk jari lagi" kata seorang lelaki yang bekerja di tepi lebuhraya yang sedang dibina kepada saya.

"Ohhh motor tu hon kat dia lah yer? Saya perasan jugak tadi" tanya saya mintak kepastian.

"Yer bang, moto tu marah sebab akak tu ke kiri kanan hampir nak langgar dia. Akak tu main telefon" jelas lelaki itu lagi.

Nah. Jadi boleh tak kau bayangkan? Telefon kat depan muka, kau tengah layan WhatsApp, lepas itu eksiden, serta-merta "airbag deployed" lepas tu airbag hentam tangan bersama handphone terus ke muka kau. Laju dan kuat kau tau tak?

Boleh kau bayangkan tak betapa kuat handphone itu menghentam muka kau sampai cedera teruk begitu sekali? 

Cuba kau bayangkan kuat tak kuat sampai skrin phone boleh pecah dan retak seribu serta cover dan bateri tertanggal. Cuba kau bayangkan darah mengalir laju keluar dari hidung, keluar dari luka-luka di bahagian muka, dahi dan mata. Nak buka mata pun tak boleh. 

Cuba kau bayangkan darah mengalir keluar dari mulut bersama air liur dan gigi depan kau hilang 3 batang. Nak bercakap pun tak boleh bila bersembur darah keluar bila kau buka mulut. Cuba kau bayangkan tangan kau menggeletar, badan kau menggeletar, jantung kau berdegup kencang dan fikiran kau melayang teringat mak, ayah, suami, isteri atau anak-anak.

Boleh bayang semua tu?

Jadi, bagi semua yang suka menggunakan telefon ketika memandu itu, kau hadamkanlah yer. Selagi tak kena, maka selagi itu kau rasa ianya tak akan berlaku pada kau. Tapi bila dah kena, maka terlambat dah.

Kalau nasib baik, kau masih boleh main telefon lagi selepas itu. Kalau nasib tak baik, mungkin kau makan minum guna straw lah buat beberapa ketika atau kalau lebih teruk, sedar-sedar dah "Maarobbuka" lah. Waktu tu apa pun tak boleh.

Tak salah kalau lepaskan kejap handphone itu barang sejam dua ketika memandu pulang. Kau simpan phone itu dalam glove box. Kau dengar radio saja sudahlah. Ada orang menunggu kau di rumah tu. Faham. Sekian.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.