Loading...
TR

Wanita maut, selepas tersadung dan leher tersangkut di celah besi pagar


Seorang wanita muda maut selepas lehernya tersangkut di pagar besi penghadang pejalan kaki selepas kakinya tersadung pada beg yang dibawanya sendiri dalam kejadian di China, lapor Daily Mail

Wajah mangsa bertukar kebiruan dan lemas selepas lehernya terperangkap di celah pagar tersebut. 

Insiden itu menyebabkan netizen di media sosial kesal pihak berkenaan tidak mengambil tindakan untuk menambah baik pagar tersebut biarpun pernah berlaku beberapa kes yang melibatkan pagar tersebut. 

Lapor Chutian Metropolitan Daily, kaki mangsa tersadung pada beg beroda yang dibawanya ketika turun dari bas di Huangpu di bandar Hankou, wilayah Hubei dalam kejadian pada 27 Februari lalu. 

Gambar menunjukkan leher mangsa tersangkut pada celah pagar besi berkenaan di belakang pondok bas. 

Orang awam yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pihak berkuasa. Selepas 16 minit kemudian, pihak polis dan pasukan perubatan tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. 

Pasukan perubatan berjaya mengeluarkan leher mangsa yang tersangkut selepas anggota polis memotong besi pagar tersebut. 







Difahamkan, reka bentuk pagar berbentuk U yang setinggi 3.3 kaki itu banyak dipasang di laluan pejalan kaki di negara itu. 

Netizen mendakwa kejadian seumpama itu seringkali berlaku dan menyalahkan kerajaan yang tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengubahsuai reka bentuk pagar tersebut. 

Pada Mac 2016, seorang wanita hamil dilaporkan meninggal dunia selepas lehernya tersangkut pada pagar yang sama di Huangpu. Manakala seorang pesara juga dilaporkan meninggal dunia selepas kepalanya tersangkut pada pagar berkenaan di Beijing pada tahun 2015.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.