Video berdurasi 2 minit 19 saat yang dirakam pelanggan di sebuah restoran berhampiran itu menunjukkan, pemandu kereta mewah terbabit sengaja memandu melawan arus, enggan mengalah biarpun telah dinasihatkan untuk berundur.
Menurut perakam video tersebut, jalan berkenaan adalah jalan sehala. Namun pemandu berkenaan degil dan terus bergerak ke hadapan dan menyalakan lampu beberapa kali memaksa pemandu Perodua Bezza berundur.
"Sekarang sebuah kereta ND168 memandu melawan arus yang mana jalan ini sebenarnya jalan sehala. Nampak tak?" kata wanita yang merakam video tersebut sambil menunjuk beberapa buah kereta di belakang Perodua Bezza.
Pemandu Bezza tidak dapat berbuat demikian kerana di belakangnya ada banyak kereta dan mereka berada di laluan yang betul.
Berang dengan keadaan itu, pemandu Mercedes itu kemudian bertindak melanggar kereta Bezza itu sebanyak dua kali menyebabkan bampar depan kereta mangsa mengalami kerosakan.
Orang ramai meminta pemandu mangsa tidak tunduk kepada tindakan tidak bertanggungjawab pemandu Mercedes berkenaan dan menasihatkannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Terima kasih kepada semua. Saya pemandu kereta Bezza putih. Laporan polis telah pun dibuat dan kes masih di bawah siasatan polis.
"Kejadian berlaku pada jam 10.57 malam, kereta ND168 telah masuk ke jalan sehala (melawan arus). Tiada pergaduhan dan pertengkaran.