Loading...
TR

Gempa bumi sederhana di Ranau, ambil langkah berjaga-jaga


Jabatan Meteorologi melaporkan, Ranau dilanda gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter dalam kejadian jam 9.06 malam tadi, lapor Harian Metro

Gegaran berkenaan berpusat di lokasi 6.1 Utara 116.6 Timur, 16 kilometer Barat Laut Ranau. 

Difahamkan, gegaran itu juga dirasai daerah berhampiran seperti Kota Belud dan Tuaran sehingga ke Kota Kinabalu dan Papar, selain Lahad Datu di pantai timur. 

Kejadian kali ini merupakan gempa bumi paling kuat di Sabah selepas kejadian 5 Jun 2015, di mana Sabah dilanda gempa bumi 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu, berserta dengan beberapa gempa susulan. 

Gegaran yang berlaku antara lima hingga 10 saat itu menyebabkan penghuni di apartmen sekitar Bandaraya Kota Kinabalu segera keluar dari rumah dan berkumpul di perkarangan bangunan sebagai langkah keselamatan. 




Sementara itu, Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Felix Tongkul berkata, gempa bumi sederhana yang berpusat dekat Gunung Kinabalu di Ranau pada jam 9.06 malam tadi adalah gegaran baru, bukan gempa susulan selepas kejadian gempa bumi pada 5 Jun 2015. 

"Gempa susulan selepas gempa bumi pada 2015 lalu sudah habis kerana tiada gegaran direkodkan dalam tempoh yang agak lama. Jadi ini adalah gegaran baru. 


"Ramai yang menghubungi saya khususnya mereka yang tinggal di kawasan Gunung Kinabalu. Mereka takut mendengar bunyi gegaran yang kuat di kawasan gunung," katanya. 

Felix mengingatkan penduduk di sekitar kawasan Gunung Kinabalu mengambil langkah berjaga-jaga susulan kejadian gempa bumi malam ini dan tidak menolak kemungkinan ada gempa bumi susulan. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.