Loading...
TR

'Ya acik, saya cekik, campak buku dan tendang dia sebab dia tak nak berkawan dengan saya'


Hati ibu bapa mana yang tidak risau bila mendapat tahu bahawa anak mereka yang dihantar ke sekola untuk mendapatkan ilmu, rupa-rupanya menjadi mangsa buli rakan sekolah. Dalam kejadian yang menimpa anak kepada Puan Norasikin Hussein ini, aduan telah dibuat dan guru kelas mengambil tindakan mengasingkan tempat duduk dua muridnya ini. 

Malangnya, murid berkenaan semakin galak membuli rakannya itu yang terpaksa memendam rasa. Si ibu hanya mengetahui apabila anaknya sudah tidak tahan menanggung masalah itu yang sebelum ini dia cuba selesaikan sendiri.

BULI. Saya beranikan diri berkongsi kisah anak sendiri yang dibuli secara fizikal. Semoga ada iktibar. 
Bismillah.

Minggu lepas, saya jumpa pembuli anak di kantin sekolah, walaupun cikgu telah mengambil tindakan dengan mengasingkan mereka di dalam kelas. Saya ambil keputusan begini sebab kejadian buli itu masih berlarutan. Dia membuli anak saya.

Sepanjang dua minggu akhir bulan lepas, anak saya saban hari telah dicekik, dikoyakkan kertas, dilempar bukunya ditendang semasa menuruni tangga sekolah semasa waktu balik, diconteng seragam sekolahnya dan beberapa lagi kejadian yang saya tidak mahu senaraikan. Cukuplah ini setakat itu sahaja. Dan kes buli ini melibatkan budak yang sama.

Saya sedih. Bagaimana anak saya melalui semua ini dalam tempoh dua minggu berkenaan. Sepatutnya dia bergembira, bukan menanggung sedih seorang diri.

"Kenapa awak tak beritahu ibu semua ni?" saya tanya dia.

Bila dia jawab, dia cuba nak selesaikan masalah itu sendiri terlebih dulu, gugur air mata saya. Saya sedih, mengapa anak berusia tujuh tahun yang lahirnya fitrah, suci tanpa setitik dosa boleh melakukan semua ini pada rakannya. Apa sebenarnya dia sedang lalui? 

Saya mengambil keputusan untuk berjumpa dengan anak ini ketika waktu rehat tanpa melibatkan pihak lain iaitu ibu bapa dia dan guru. Saya ingin mengenali diri dia. 

"Assalamualaikum. Boleh acik dok sebelah?" saya beri salam.

"Waalaikumussalam acik!" dia menjawab salam saya. 

Bagus! Dia juga memberi ruang untuk saya duduk. Saya melihat baju dan tudung dipakai budak ini, bersih dan kemas. Pandai dia melipat tudung dua lapis itu. Anak tudung juga terletak elok. Raut wajah nampak tak seperti rakan sebaya yang lain, nampak matang sebelum usia.

Saya memulakan perbualan dengan bertanyakan namanya. Benarkah nama sekian-sekian. Dia angguk. "Ya betul acik"

Saya belanja dua biji donut coklat yang saya beli di kantin itu juga. Dia ucap terima kasih, bagus, ada adab. Tanpa berlengah lagi, saya terus ajukan soalan.

"Acik nak tanya, betul ke awak ada cekik anak acik setiap kali sekolah?"

Soalan itu membuatkan dia berhenti mengunyah, matanya terhenti melihat keropok lekor bersalut sos.

Saya ulang sekali lagi soalan tadi tetapi tiada respon.

"....jujur dengan acik. Acik tak marah, beritahu saja. Benar ke awak buat begitu?"

"Ya. Saya buat."

Berani budak ini. 

"Kenapa awak cekik anak acik?"

"Saya nak dia kawan saya. Saya cekik sebab dia tak nak kawan dengan saya.'' laju saja kata-kata itu keluar dari mulut dia.

Oh, dia fikir dengan mencekik orang dia boleh dapat kawan ke? Saya cuba betulkan. Mesti.

"Salah itu. Kalau nak berkawan, berkawan baik-baik dengan orang. Kena senyum, kena tegur orang. 'Hai..boleh saya kita kawan?'. Kalau awak cekik orang, siapa pun tak nak kawan dengan awak. Bukan anak acik saja tak nak berkawan dengan awak, nanti semua orang tak nak kawan dengan awak,"

Dia diam.

"Awak cekik anak acik itu, awak belajar dari mana? Mana tengok semua itu? Nanti boleh mati tau kalau cekik-cekik orang ini. Nak polis tangkap ke?" saya sambung lagi. 

Dia menggeleng-geleng kepala, "Tak. Tak nak. Tak nak acik."

Hah! Tahu takut! Saya ulang soalan, tanya dari mana dia belajar mencekik orang. Dia hanya menggeleng kepala. Saya serang lagi dengan soalan.

"Acik dapat tahu dari anak acik, duit dia yang dalam beg dan jam dia awak ambil. Ada si xxx sebelah awak, nampak awak buka beg anak acik tempoh hari."

"Tak acik, saya tak ambil," beria dia menafikannya. 

Baik, saya malas nak cerita panjang bab duit ini. Saya sambung siasatan. 

"Hari-hari anak acik kata awak suka campak buku-buku anak acik dalam kelas. Benar awak buat seperti itu?" 

"Ya acik, saya buat macam tu," dia mengaku lagi. 

"Kenapa buat begitu? Tak kasihan ke pada anak acik? Dia menangis bila cerita apa yang awak buat pada dia. Jenuh dia nak mengutip buku, pensil semua itu."

Saya tengok muka polos dia, kenapalah harus begini. Bagaimana aawak dibesarkan wahai anak. 


Tiba-tiba dia menjawab, "Sebab dia tak nak ajar saya belajar."

"Betul dia tak nak ajar awak belajar? Sekejap, acik panggil dia. Saya bangun dan acah-acah nak pergi ke tempat anak saya yang sedang makan dengan dua rakannya tadi. 

"Dia ajar. Saya tak faham," lekas dia menjawab membuatkan saya kembali duduk. 

"Kalau tak faham, cakap dengan anak acik untuk ajar lagi atau terus bertanya pada cikgu. Bukannya buat begitu. Itu tidak betul," kata saya. 

"Apakah benar awak menendang anak acik di tangga dan selepas itu awak lari?" 

"Ya acik, saya buat. Saya tendang sebab dia tak nak berkawan dengan saya," 

"Awak tidak puas hati dengan anak acik atau ada apa lagi yang anak acik ada buat apa-apa pada awak sampai awak buat begitu?"

"Dia jauh dengan saya, saya tak suka. Saya nak berkawan dengan dia," jawabnya. 

"Allah, budak ini nak menakluk. Apa yang dia saksikan hari-hari agaknya," getus hati saya. 

"Awak tahu, kalau awak tendang, kena bucu tangga, kena apa-apa yang berbahaya, anak acik jatuh dan berdarah, boleh cedera dan boleh mati tau kalau buat begitu. Tahu tak, boleh jadi begitu?" 

Dia tidak berani menatap mata saya. Saya ulang, "Tahu tak boleh mati? Bahaya awak buat begitu." 

"Tak tahu acik." 

"Lain kali boleh tak janji dengan acik jangan buat lagi semua perbuatan yang awak buat pada anak acik. Kalau buat lagi, acik telefon polis. Nanti polis tangkap awak, ibu awak atau ayah awak. Nak tak?" 

Dia terkedu, sengaja saya buat begitu. Saya juga bimbang kejadian yang sama berulang kembali. 

"Janji. Saya tak buat lagi cik," katanya. 

Saya buka handphone dan scroll, mencari sesuatu dalam group WhatsApp kelas. Saya tunjukkan pada dia gambar profile seseorang. Saya agak saja berdasarkan perbualan dalam group itu. 

"Kenal siapa ini?" 

"Mama!" bulat mata dia.
"Acik jangan beritahu mama. Janji cik. Nanti saya kena pukul!" rayunya. 

"Mama awak tahu tak awak buat begini?" 

"Tak tahu acik, jangan beritahu. Nanti saya kena tali pinggang, rotan. Mama pukul teruk," rayunya lagi membuatkan hati saya terasa sayu. 

"Okey, kalau begitu awak pun kena berjanji dengan acik jangan buli anak acik dan orang lain juga. Kalau buat lagi, acik laporkan kepada polis."

"Janji, saya tak buat lagi. Jangan beritahu mama saya cik." 

"Ye, janji jadi budak baik selepas ini. Cuba ya, nanti semua orang sayang awak." 

"Ye cik." 

Seketika kemudian, kata-kata yang seterusnya dari dia membuatkan saya terkejut. 

"Ayah selalu cekik mama bila bergaduh," katanya. 

"Ayah cekik mama? Awak selalu tengok ke?" 

"A'ah, bukan selalu. Tetapi bila bergaduh, ayah suka cekik mama sampai mama menangis cakap sakit," jelasnya. 

Sekarang saya sudah tahu dari mana dia belajar semua itu. Loceng berbunyi, tanda tamat sesi waktu rehat. Saya panggil anak saya dan bersalaman dengan anak ini. Entahlah, saya peluk dia. Saya masih terfikir hingga sekarang, apakah betul tindakan saya ini. Saya masih menanti dan risau. Semoga selepas ini kejadian itu tidak berulang lagi. 

Moga-moga acik dan awak tak teruskan perjumpaan di bilik kaunseling selepas ini. Acik cuba percayakan awak. Moga baik-baik saja untuk kamu wahai anak. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.