Difahamkan, berlaku pertengkaran mulut di antara anak-anak saudara pengadu dengan anak-anak jirannya yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada ibu bapa mereka.
Berdasarkan video, bapa kepada kanak-kanak perempuan terbabit tampil berdepan dengan pengadu yang merakam video tersebut dan kedua-duanya bertikam lidah dan saling menuding jari.
Situasi menjadi semakin tegang apabila dua anak perempuan lelaki terbabit gagal mengawal diri lalu bertindak biadab dengan memperlekehkan pengadu dan seorang lagi wanita yang dipercayai ibu kepada pengadu.
Sesekali kanak-kanak perempuan berbaju biru itu cuba menyerang kanak-kanak lelaki yang dipercayai anak jirannya itu, namun dilepaskan selepas ditegah pengadu.
Seketika kemudian kelihatan isteri lelaki terbabit datang membawa pedang samurai dan mengacu tepat ke arah ibu pengadu dan mengancam mencederakannya sebelum ditegah oleh suaminya.
Sekeluarga itu kemudian beredar namun dua anak perempuannya masih memperlekehkan pengadu yang ternyata tidak menghormati orang dewasa.
Difahamkan juga, pengadu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.
Selain itu, netizen juga menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan terhadap keluarga terbabit yang memiliki senjata tajam yang bimbang akan disalahgunakan untuk mengancam keselamatan para penduduk yang lain di kawasan perumahan berkenaan.