Rakaman video sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 26 tahun melanggar seorang anggota polis sebelum melarikan diri, viral di media sosial.
Dalam kejadian minggu lalu di Surabaya, Indonesia, pemandu berkenaan gagal memperlahankan kenderaannya lalu terlanggar motosikal yang ditunggang anggota polis.
Akibat dari pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan secara tiba-tiba kereta Vios itu terus memecut melarikan diri dan tindakannya itu hampir menyebabkan mangsa digilis.
Beberapa penunggang motosikal kemudian bertindak mengejar kereta mangsa sehingga berjaya ditahan.
Di video kedua, orang ramai mengerumuni kereta tersebut dan mendesak pemandunya keluar. Beberapa penunggang motosikal juga bertindak merosakkan dan memecahkan cermin kereta tersebut.
Lapor Tribun News, pemandu kereta berkenaan dikenali sebagai Ifron Muchtarom, mengaku berasa takut yang mendorongnya untuk melarikan diri.
Ifron juga turut cedera di bibir dan mulut akibat dipukul orang awam yang mendesaknya keluar dari keretanya.
Menurut Ifron, dia ketika itu dalam perjalanan dari Surabaya, pulang ke Gresik.
Siasatan awal mendapati, Ifron mempunyai kes salahguna dadah jenis sabu pada 6 Februari lalu dan melarikan diri ketika disoal siasat. Keadaan itu menyebabkan dia berasa takut lalu memecut keretanya meninggalkan mangsa di tempat kejadian.
Hasil ujian air kencing juga mendapati, pemandu terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
Ifron akan didakwa tidak lama lagi kerana memandu secara berbahaya dan salahguna dadah.