Loading...
TR

'Isteri saya ditangkap khalwat bersama duda di rumah, saat itu juga saya ceraikan isteri..'


Hancur luluh hati seorang suami apabila mendapati isterinya ditangkap khalwat bersama lelaki berstatus duda di ruang tamu rumah lelaki berkenaan. Namun dia tidak pula menyerang mahupun melemparkan kata-kata kesat. Sebaliknya hanya memendam rasa kecewa. 

Namun, apa yang terjadi pada bekas isteri dan lelaki duda itu selepas lima bulan, membuatkan dia terimbas kembali akan kesilapan demi kesilapannya semasa mendirikan rumah tangga dengan wanita yang pernah bertakhta di hatinya selama 10 tahun itu. Semoga menjadi pengajaran buat kita, terutamanya golongan suami. 

SAYA seorang duda, umur 40 tahun dan ada dua orang anak. Kisah kira-kira setahun lebih yang lalu, isteri saya telah ditangkap khalwat bersama jiran iaitu seorang duda berumur 47 tahun, berdua-duaan lengkap berpakaian di ruang tamu rumah duda berkenaan. 

Pada masa itu juga, saya menceraikan isteri. Saya tidak memukul mahupun mengherdik mereka. Saya hanya terdiam dan menahan rasa kecewa. 

Selepas lima bulan kejadian itu, bekas isteri pun bernikah dengan duda berkenaan. Anak-anak saya dijaga oleh bekas isteri. 

Satu hari, tergerak hati saya nak mengintai kehidupan bekas isteri bersama suami baru dan anak-anak saya. Masa itu saya parking kereta di depan taman permainan. Cermin kereta saya gelap, mereka tidak akan perasan dengan kehadiran saya di situ untuk mengintip mereka. 

Masa itu waktu lebih kurang jam 6.45 petang. Saya nampak bekas isteri pakai telekung, anak-anak pun sama. Suami barunya juga ada bersama. Mereka kelihatan seperti bersiap-siap nak pergi ke masjid. Mereka bergurau, ketawa bersama-sama dan kelihatan begitu bahagia sekali kehidupan mereka yang sekarang. 

Perkara itu membuatkan saya termenung seketika dan teringat suatu ketika dahulu saya tidak pernah mengajak isteri pergi ke masjid, tidak pernah solat berjemaah, solat pun selalu saya abaikan. Saya tidak pernah memuji masakan dia. Saya maki kalau masakan terlebih masin atau tawar.

Kalau dia mengadu sakit, saya selalu hamun dia. Di depan kawan-kawannya saya berani menengking dia. Bila penat pulang dari kerja, ada masalah di tempat kerja saya lepaskan perasaan marah pada isteri. Dia menjawab, saya akan pukul dan tampar dia. Pendek kata, sepak terajang itu semua saya sudah berikan kepada dia. 

Saya langsung tidak menghargai dia yang melahirkan anak-anak saya. Saya tidak mendidik dia dengan ilmu agama yang cukup. 

Sekarang saya cuma boleh pandang kebahagiaan mereka. Saya bersyukur anak-anak saya dijaga oleh bapa tiri mereka dengan baik. Mungkin mereka sudah bertaubat. Syurga itu dipenuhi oleh pendosa. 

Saya hanya mampu melihat kebahagiaan mereka dari jauh. Nampaknya bekas isteri sudah menemui kebahagiaan yang dicari. Bekas isteri pun ada mengikuti laman Kisah Rumah Tangga ini. Kalau dia baca, satu saja yang saya nak cakap. 

"Abang minta maaf. Terima kasih kerana menjaga makan minum abang selama 10 tahun dan juga kerana melahirkan anak-anak abang." 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.