"Anggap saja dia sakit otak," demikian nasihat netizen terhadap lelaki ini yang kesal dihina secara tiba-tiba oleh seorang wanita yang memandu kereta mewah dalam kejadian yang menimpanya baru-baru ini.
Nafiq Zafree, yang bekerja sebagai runner makanan separuh masa bagi mengumpul wang dan membantu keluarganya itu tidak menyangka pekerjaannya dihina dan dianggap sebagai sampah masyarakat.
Tiada angin, tiada ribut, malah dia menunggang motosikal dengan cermat tetapi secara tiba-tiba dimaki oleh wanita yang tidak didedahkan identitinya itu.
"Aku seorang runner kedai makan. Bekerja dan mengumpul duit untuk membayar yuran sem depan selain dari membantu keluarga.
"Setiap hari aku hantar makanan menggunakan motosikal jenis Honda Wave lama boss aku. Hari ini aku dihina oleh seorang perempuan bekerjaya (mungkin) yang naik kereta Mini Cooper merah di persimpangan lampu isyarat di taman perumahan aku.
"Biasalah di persimpangan lampu isyarat merah, mestilah berhenti. Tiba-tiba kereta perempuan ini berhenti di sebelah aku. Dia buka tingkap dan kemudian menjerit pada aku.
'SAMPAH MASYARAKAT PUIIII!'
"Siap dia nak meludah aku lagi. Tiba-tiba saja dia nak menghina aku dah kenapa? Sedangkan aku tak mengancau sesiapa pun dan menunggang motosikal dengan elok saja.
"Takkan dia hina aku sebab aku menunggang motosikal? Aku tahu aku pakai baju selekeh saja gaya siap dengan sling bag, tetapi apa motif dia nak menghina aku yang naik motosikal ini?
"Tahulah naik kereta mewah tetapi itu bukan tiket untuk kau menghina orang sesuka hati saja. Semua orang mencari rezeki yang halal weh.
"Tapi itulah, harga mungkin menggunung, mampu memiliki kereta besar, gaji pun besar agaknya tetapi tiada keperluan nak menghina orang sesuka hati. Harta banyak tetapi kalau mentaliti kelas bawahan, boleh campak ke tong sampah," tulisnya.
Hormatilah pekerjaan orang lain. Jangan anggap diri itu berkuasa apabila berada di atas atau lebih kaya dari mereka yang bergaji sederhana. Ada masanya kita akan berada di bawah juga.