Seorang wanita India mendakwa suaminya telah mencuri salah satu buah pinggangnya dan dijual di pasar gelap selepas keluarganya gagal membayar mas kahwin, lapor Daily Mail.
Rita Sarkar, 28, mendakwa suaminya mengambil kesempatan ke atas dirinya ketika dia menghidap penyakit apendiks dua tahun lalu dan buah pinggangnya dikeluarkan semasa mangsa dibedah bagi merawat penyakitnya itu.
Sarkar berkata, dia tidak mengetahui jenayah yang dilakukan suaminya itu sehingga beberapa bulan lalu apabila dia dimasukkan ke hospital dan dotor mendapati buah pinggang kanannya telah hilang.
"Dua tahun yang lalu saya menderita sakit perut. Suami membawa saya pergi ke sebuah klinik sewasta di Kolkata di mana dia dan kakitangan klinik berkenaan memberitahu yang saya akan sembuh selepas melakukan pembedahan," katanya.
Sarkar juga dinasihatkan oleh suaminya agar tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai pembedahan itu. Namun selepas pembedahan itu, Sarkar masih mengalami masalah kesihatan yang berterusan di bahagian perut dan belakang badan.
Akhirnya, Sarkar dibawa oleh keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang kemudian menjalani pemeriksaan dan dimaklumkan buah pinggang kanannya telah hilang.
"Baru sekarang saya faham mengapa sebelum ini suami berpesan agar tidak menceritakan pembedahan itu kepada sesiapa. Dia menjual buah pinggang saya kerana keluarga saya tidak dapat menunaikan tuntutan mas kahwin," katanya.
Difahamkan, mas kahwin dibayar oleh keluarga pengantin perempuan kepada pengantin lelaki yang diamalkan kebanyakan masyarat di India meskipun amalan itu telah diharamkan sejak 1961.
Ibu kepada anak lelaki berusia 11 tahun itu berkata, suaminya telah meminta mas kahwin sebanyak 2,000 rupee (RM122). Tetapi keluarganya tidak dapat menunaikan permintaan lelaki itu.
Ekoran kejadian itu, polis telah menahan suspek dan abangnya pada Isnin lalu dan didakwa memperdagangkan organ manusia.
Difahamkan juga, suspek telah menjual buah pinggang isterinya kepada seorang ahli perniagaan dan mendakwa mangsa telah bersetuju untuk 'mendermakan' organnya.