"Kerana bangku pecah, semuanya terdedah," demikian tulis guru lelaki ini yang tidak menyangka dua murid yang juga adik beradik ini rupa-rupanya datang dari keluarga yang susah. Dua beradik itu dijaga oleh bapa mereka, manakala si ibu telah mengambil keputusan untuk memilih 'haluannya' sendiri bersama dua anak kembar mereka.
Apakan daya seorang bapa hendak menguruskan dua orang anaknya yang bersekolah, dalam masa yang sama juga perlu bekerja mencari rezeki. Hanya mampu menyiap dan menyediakan dua orang anaknya setakat yang termampu sebelum menghantar mereka pergi ke sekolah.
Inilah realiti kehidupan yang jarang diceritakan. Semoga urusan si bapa dan dua anak-anaknya itu dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.
TAHUN lepas, ada seorang murid Tahun Satu yang sangat pendiam, perempuan. Aku perasan tudung dia selalu tutup dahi, macam tak pandai pakai tudung. Baju pun selalu comot.
Tahun ini, dia masih tidak pandai memakai tudung. Masih begitu, bajunya juga masih comot-comot. Sudah banyak kali aku bertanya tentang keluarga, tetapi dia hanya mendiamkan diri sahaja.
Tahun ini dia tidak keseorangan. Dia berteman, ada adik lelaki di Tahun Satu. Adik dia ini sangat aktif, hyperaktif aku rasa. Memang langsung tidak boleh duduk diam dalam kelas, dewan atau perhimpunan. Pakaian adik dia pun sama juga, tidak terurus dan selalu comot.
Dua hari yang lepas, adik dia dengan sengaja memecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang aku beli dengan duit kiriman sahabat-sahabat aku yang baik hati. Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu memanggil ibu bapanya untuk berbincang mengenai kelakuan anaknya yang hyperaktif ini bagi mencari jalan terbaik agar murid ini tidak ternafikan haknya untuk belajar dengan sempurna.
Hari ini, selepas habis kelas pertama, ada pengawas yang datang menjemput aku ke pejabat. Katanya pentadbir yang panggil. Aku dah agak, pasti si ayah murid itu telah datang. Dengan tenang aku terus ke pejabat. Di luar pintu pejabat, ada sepasang kasut lusuh, nampak comot dengan selut dan kotoran.
"Itu kasut orang kerja buruh," getus hatiku.
Sebaik saja masuk, kelihatan seorang lelaki usia lewat 40-an duduk bersama barisan pentadbir. Mukanya kelihatan penat, malah peluh pun tidak sempat kering dari baju. Kulitnya gelap, nampak jelas kerjanya pasti di bawah cahaya terik mentari. Tangannya kasar dan kotor, tanda kerja berat.
Aku bersalaman dan menegur dia dengan mesra. Duduk betul-betul di sebelah dia dan sesekali aku bergurau mencuit paha dan memegang bahunya. Tidak sesekali aku berasa geli atau menunjukkan muka tidak selesa walaupun bau badannya tidak sewangi orang kerja pejabat.
Aku tidak mahu dia berasa resah dan bersalah. Aku nak dia tahu, kami bukan hendak menyalahkannya, sikap budak memang begitu. Tetapi kami ada meminta dia membawa anaknya ke Hospital Selayang unit Mekar untuk pemeriksaan.
Pada pengamatan mata kasar aku dan guru-guru lain, anak dia ini kategori istimewa. ADHD mungkin, sangat aktif sehingga sukar dikawal.
Aku susun ayat sebaik mungkin, memberitahu dia dengan lembut dan dia menerima dengan tenang. Dia pun tahu anaknya memang tidak terkawal. Dia berjanji akan membawa anak lelakinya itu ke hospital secepat mungkin.
Bila disahkan, anak dia boleh masuk kelas pemulihan. Kelas yang layak dan sepatutnya anak itu duduk dan belajar. Lagipun, murid pendidikan khas ini ada elaun.
Sebelum dia beredar, kami beritahu ada kerosakan yang dibuat oleh anaknya perlu diganti. Dengan serba salah dia kata, "Cikgu, boleh. Tetapi tunggu saya dapat gaji ya.".
Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu, gugur seketika. Nilai bangku itu yang tidaklah besar di zaman ini tetapi masih ada yang perlu menunggu gaji. Terus aku pegang bahu dan mengajaknya pergi. Aku bukakan pintu pejabat, aku tunggu dia sarung kasut buruk itu. Aku iringi setiap langkah dia ke motosikal buruknya sambil bertanya tentang kehidupannya.
"Abang kerja kat mana?"
"Saya kerja kat Kuang. Kerja ukur jalan. Ni dari Kuang dapat telefon dari sekolah terus saya datang."
Allah. Kuang ke Gombak bukan dekat, dengan motor tengah panas terik pula tu. Terus tinggal kerja bila tahu anak buat angkara.
"Rumah abang kat mana? Isteri kerja apa? Anak berapa orang?" soalku bertalu-talu.
"Rumah saya di Batu 5. Anak saya empat. Yang paling kecil, kembar dua orang duduk dengan isteri saya. Yang sulung tahun dua dan tahun satu ini tinggal dengan saya. Dah tiga tahun kami berpisah," balasnya tenang.
Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Aku minta dia menghubungi aku terus kalau ada apa-apa. Nombor telefon aku tinggalkan dan dia berlalu pergi. Berlalu pergi di bawah teriknya sinar mentari untuk mencari sesuap rezeki.
Patutlah, patutlah anak perempuannya tidak pandai memakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama. Ayahnya yang bekerja sebagai buruh mana pandai hendak pakaikan anak perempuan tudung. Asal tersarung, asal tertutup rambut baginya sudah cukup elok.
Patutlah pakaiannya nampak comot, tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah.
Kelu, aku kelu sebenarnya. Aku sangat terharu melihat pengorbanan seorang bapa. Jika aku berada di tempat dia, aku pun tidak tahu apa aku mampu menjaga anak aku sebaik dia. Makan minum, sakit demam, duit belanja, basuh pakaian dan segala urusan rumah tangga seorang diri. Menguruskan anak bukan mudah, tambah-tambah bagi kaum lelaki.
Sebaik dia jawab hendak ganti kerusi itu bila dapat gaji, terus aku niatkan dalam hati.
"Bangku yang perlu diganti itu aku yang akan ganti. Bahkan apa keperluan anak-anaknya yang mampu aku bantu, aku cuba bantu."
Esok aku akan settlekan hal bangku diam-diam. Esok juga aku nak jumpa ustazah guru kelas anak sulungnya, minta ustazah tolong ajar murid ini pakai tudung dengan betul. Semoga anak-anak ini rajin belajar seterusnya menjadi insan yang berguna dan berjasa. Kerana bangku pecah, semuanya terdedah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.
Sumber: Cikgu Mohd Fadli Salleh