Loading...
TR

Kanak-kanak maut dipatuk ular tedung


Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut selepas jari telunjuknya dipatuk ular tedung berwarna hitam, ketika sedang tidur. 

Dalam kejadian jam 7.30 malam Selasa lalu di sebuah rumah di Surat Thani, Thailand, mangsa, Prapawee Prawat, 9, sedang tidur di tilam yang diletakkan di atas lantai sebelum dipatuk ular berbisa berkenaan. 

Ahli keluarga mangsa hanya mengetahui kejadian itu selepas mayat mangsa ditemui tidak bernyawa pada pagi keesokan harinya.

Nenek mangsa, Lung Chu, 70, berkata, pagi Rabu itu dia masuk ke bilik dan cuba mengejutkan mangsa dari tidur. Tetapi mangsa tidak memberikan sebarang respon pada neneknya. Apabila diperiksa, rupa-rupanya mangsa sudah tidak bernyawa. 

"Pagi itu saya cuba mengejutkannya dari tidur untuk bersiap ke sekolah. Tetapi dia tidak bergerak mahupun bernafas, sebelum saya menghubungi beberapa pihak untuk meminta bantuan. 

"Dia tinggal bersama saya dan moyangnya kerana ibu bapanya telah bercerai. Saya tidak tahu bagaimana kejadian ini boleh berlaku sedangkan kami tidak pernah nampak reptilia itu di dalam rumah selama ini. 

"Saya sangat sedih dan berharap kalaulah saya yang menjadi mangsa gigitan ular itu. Dia masih muda lagi," katanya. 

Polis dan pasukan penyelamat yang menerima panggilan kecemasan berhubung perkara itu kemudian terus bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa sudah mati, sebelum menemui seekor ular tedung yang bersembunyi berhampiran tilam mangsa. 

Para penduduk kemudian berusaha menangkap dan memukul ular itu sehingga mati. Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematiannya. 







Sementara itu polis berkata, Prapawee dipercayai telah meninggal dunia sekitar lapan jam sebelum ditemui keluarganya. 

"Polis hanya dimaklumkan mengenai kematian mangsa pada jam 7.40 pagi tanpa mengetahui punca kematiannya. 

"Tiada tanda-tanda mangsa telah didera, tetapi di jari telunjuk tangan kanannya ada kesan gigitan reptilia berkenaan yang ditemui berhampiran tilam mangsa. 

"Mayat mangsa dibawa ke sebuah hospital di Chaiburi dan dipercayai meninggal dunia akibat patukan ular tersebut," katanya. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.