Loading...
TR

'Dengar ada bunyi orang mandi, tetapi bila jenguk...'


Bukan pertama kali, tetapi sudah ramai yang pernah datang ke tempat ini berkongsi pengalaman bahawa mereka pernah mengalami gangguan. Sejauh manakah kebenarannya? Tiada siapa yang tahu kecuali anda beranikan diri untuk menyewa di situ. 

Kisah ini berlaku pada pertengahan 2015, pelbagai gangguan dialami sehingga suami wanita ini sudah tidak tahan lalu mengangkat kakinya keluar dari tempat berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingininya dapat dilihat pula dengan mata kasar. 

TAHUN lalu di pertengahan 2015, saya dan suami saja-saja short getaway ke Port Dickson. Hujung minggu biasa tetapi hotel tetap banyak yang sudah penuh. Silap kami sebab main terjah, maklumlah pengantin baru setiap minggu asyik nak berjalan saja. Hehe! 

Akhirnya kami berdua menginap di satu apartment yang berdekatan dengan Politeknik Port Dickson, Marina Apartment ke apa namanya entah. Saya tidak pasti sebab kami check in pun waktu itu sudah malam. 

Masa mula-mula masuk, rasa seperti biasa saja. Cuma agak terkilan bila mana bilik yang diberi agak berhabuk seperti sudah lama tidak dihuni. Suasana bilik juga agak spooky dan suram. Tetapi disebabkan suara riuh kanak-kanak bermain di kolam renang, suara orang dewasa riuh berborak dan bunyi tapak kaki berlari-lari di kaki lima membuatkan saya terlupa tentang hal-hal mistik. 

Gangguan mula berlaku ketika melewati tengah malam. Saya perasan sejak dari mula kami masuk, tandas di bilik kami selalu 'terflush' sendiri. Boleh dikatakan sejam sekali atau lebih dari itu. Ketika saya mandi pun, tandas itu flush sendiri. 

Saya menyangka tandas itu rosak, jadi saya tidak berfikir apa-apa dan boleh tidur dengan nyenyaknya. Tetapi rupa-rupanya suami saya langsung tidak boleh pejamkan mata. Sekitar jam empat pagi, dia kejutkan saya dan terus ajak check out. 

Ketika dalam perjalanan pulang, barulah dia menceritakan apa yang berlaku dan kenapa dia ajak check out terus. 

Di awal kedatangan kami, ada terdengar bunyi orang riuh rendah bermain di kolam renang. Suami saja-saja menjenguk dan alangkah terkejutnya apabila dia mendapati kolam renang itu kosong saja. Lagipun siapa yang nak mandi malam-malam jam 10 malam dengan anak-anak kecil lagi? Tetapi suami hanya mendiamkan diri sebab tidak mahu menakutkan saya.

Kemudian bunyi kanak-kanak berlari di kaki lima itu, suami saya kata bukan orang. Sebenarnya suara saja yang kedengaran tetapi bayang-bayang tiada. Sebab apartment kami ada tingkap menghadap kaki lima. Jadi kalau ada orang yang lalu lalang, memang boleh nampak. Lagi-lagi tingkap kami berlangsir pendek dan jenis tingkap kaca. 

Kemudian ketika kami tidur, suami terjaga kerana terdengar bunyi TV di ruang tamu dihidupkan. Saya jenis tidur mati, jadi saya langsung tidak sedar TV hidup tetapi tiada siaran. Hanya skrin biru dan suara lebah memanjang. 

Suami saya bangun dan padamkan TV, tetapi TV di apartment kami jenis TV lama, TV kantan cembung dan tiada alat kawalan jauh. Jadi suami terus off suis belakang TV. 


Baru saja beberapa langkah suami saya berjalan, TV itu hidup semula walaupun suisnya telah dimatikan. Suami dah tak pandang belakang lagi, dia terus berlari masuk ke dalam bilik. Terus-terus dia segera mengejutkan saya dan bersiap untuk keluar. 

Dan baru saya tahu, tandas tidak mungkin akan terflush sendiri. Kalau rosak pun cuma menitik-nitik atau langsung tidak boleh digunakan. 

Jadi, siapa yang gunakan tandas bilik kami setiap setengah jam itu?

Sumber: Nishikido

About Cite Malaya

Powered by Blogger.