Loading...
TR

BN akan turunkan cukai berkaitan hartanah bagi jika berjaya tawan Selangor di PRU-14


Barisan Nasional (BN) akan menurunkan cukai berkaitan hartanah di Selangor bagi mengurangkan harga rumah, kos menjalankan perniagaan serta harga barang dan perkhidmatan di negeri ini, apabila ia mengambil alih Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Isham Jalil berkata kos sara hidup di Selangor merupakan antara yang tertinggi di negara ini, dan ini disebabkan oleh dasar kerajaan negeri yang menaikkan cukai hartanah yang seterusnya meningkatkan kos perniagaan dan kos sara hidup.

Beliau berkata, sejak kerajaan Pakatan menguasai negeri ini pada 2008, kerajaan negeri menaikkan bayaran ke atas 90 jenis lesen perniagaan di Selangor, dengan lesen di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam dinaikkan 72 peratus dan di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebanyak 120 peratus.

“Satu contoh khusus, bayaran baharu lesen pengedar kereta terpakai di bawah pentadbiran Majlis  Perbandaran Kajang, Pakatan menaikkannya sebanyak 282 peratus kepada RM1,490 daripada RM390 semasa pemerintahan Barisan Nasional,” kata Isham dalam tulisannya di New Straits Times, yang diterbitkan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tempatan Pakatan juga mengenakan bayaran ke atas 32 jenis premis perniagaan yang sebelum ini dikecualikan di bawah pemerintahan BN, serta meningkatkan kadar penilaian ke atas rumah orang tua, rumah untuk orang kurang upaya dan taska.

Di Pulau Pinang juga, beliau berkata peniaga kecil dan penjaja turut merasakan bahang peningkatan kos disebabkan kenaikan bayaran perniagaan.

Menurut  wakil rakyat BN bagi kawasan Pulau  Betong, Datuk Muhammad Farid Saad, bayaran sumbangan setiap gerai di beberapa tempat di Pulau Pinang meningkat daripada kira-kira RM3,000 (sebelum 2008) kepada antara RM35,000 dan RM58,000 sekarang.

“Apabila peniaga membayar sewa yang tinggi untuk premis perniagaannya, beliau akan memindahkan kos kepada pengguna dengan mengenakan harga barang dan perkhidmatan yang lebih tinggi,” katanya.

Isham  berkata, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 2015, sering diputar belitkan oleh pembangkang sebagai faktor utama yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup, sedangkan kenaikan kos sara hidup yang ketara berlaku antara 2008 dan 2011 di Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau  berkata kenaikan itu tidak mungkin disebabkan peningkatan harga minyak, memandangkan harga petrol di pam dikurangkan enam kali dalam tempoh empat bulan sejak Ogos 2008 hingga 2009, dan stabil pada paras rendah dan kira-kira RM2 seliter sejak bertahun-tahun selepas itu.

“Ini juga tidak boleh disebabkan oleh kos bahan binaan memandangkan harga bahan binaan stabil sejak 2009.

“Malah, harga keluli, salah satu daripada komponen terbesar dalam pembinaan, jatuh sehingga separuh harga kepada kurang daripada RM2,000 setan pada 2009 daripada kira-kira RM4,000 setan pada 2008,” katanya.

Dalam  pada itu, Isham berkata sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri Selangor telah  menaikkan gaji Menteri Besar dan anggota exconya.

“Gaji  Menteri Besar sekarang adalah yang paling tinggi dalam kalangan penjawat awam di negara ini, malah lebih  tinggi daripada gaji Perdana Menteri. Secara  langsung, ahli  politik Pakatan telah meningkatkan beban cukai rakyat dan menaikkan gaji mereka sendiri,” katanya. — Bernama 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.