Tahun 2009, saya kenal isteri saya dan masa itu kami sama-sama posting di Hospital Likas. Masa ini kami berkawan sahaja. Habis saja belajar, hubungan kami mula serius, mula keluar bersama-sama.
10 November 2011, kami bertunang dan setahun kemudian, kami berkahwin pada 2 Disember 2012.
Isteri saya ini selalu tolong isikan minyak kereta. Saya jenis pelupa. Asal dia guna kereta, mesti tangki minyak penuh. Kami sangat bahagian walaupun belum dikurniakan cahaya mata selepas tiga tahun perkahwinan. Namun, isteri saya mula tertekan kerana kerap kali disoal tentang anak bila pula ke kampung.
Setiap kali selepas solat, air mata dia menangis teresak-esak meminta dikurniakan anak. Baru tiga tahun berkahwin, kami sudah diberi tekanan seperti ini. Bermacam-macam dugaan yang kami perlu hadapi sehingga tiub fallopian isteri saya disahkan tersumbat, sempit dan ada ketumbuhan.
Kami ikhtiar dan berubat, akhirnya isteri saya disahkan mengandung pada awal tahun 2016. Kami sangat gembira menerima perkhabaran yang amat mengujakan ini. Ternyata tuduhan orang di sekeliling yang kononnya kami mandul, adalah tidak benar. Mereka sepatutnya memberi sokongan kepada kami, bukannya mencaci maki.
Malangnya, isteri mengalami keguguran ketika kandungannya berusia tiga bulan. Tidak berapa lama kemudian, isteri disahkan mengandung lagi, tetapi tidak lama selepas itu keguguran sekali lagi dan sudah tiga kali isteri keguguran.
Isteri banyak mengambil pelbagai jenis rawatan dan ubat untuk menguatkan rahim.
Pada awal tahun 2017, sekali lagi isteri saya disahkan mengandung. Kali ini kami berbincag agar dia mengambil cuti rehat dulu. Tetapi memandangkan cuti selama setahun tidak diterima, jadi isteri saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
Isteri bekerja di hospital swasta, manakala saya di hospital kerajaan. Sepanjang tempoh mengandung, isteri langsung tidak mengidam atau apa-apa alahan. Isteri sudah membuat segala persiapan, barang bayi, bilik sehinggalah seluruh rumah kami diubah dengan suasana seperti taska. Hehe! Comel.
1 Oktober 2017, isteri saya selamat melahirkan bayi lelaki yang comel dan wajahnya seperti saya. Semasa bersalin, isteri saya mengalami komplikasi kegagalan pernafasan dan tumpah darah sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Setelah empat hari kemudian, keadaan isteri semakin stabil dan dipindahkan ke wad. Di situlah dia membuka cerita.
"Beruntungnya saya, bang. Saya minta dikurniakan zuriat untuk abang. Saya sanggup tukarkan nyawa seandainya diberi peluang rasa untuk mengandung. Saya mahu buktikan kepada seluruh keluarga dan saudara mara yang mencaci saya bahawa saya tidak mandul," katanya.
Semasa isteri berada di ICU, dia berdoa agar dipinjamkan lagi sedikit masa untuk bersama-sama anak. Allah mendengar doanya dan akhirnya pada 8 November 2017, dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya kerana darah beku.
Hari ini, ulangtahun perkahwinan kami yang kelima. Terima kasih sayang di atas hadiah yang tidak ternilai. Hadiah yang akan abang jaga dengan penuh kasih sayang. Allah, sedihnya namun saya redha. Isteri saya bukan pergi meninggalkan kami tetapi dia berada di tempat yang lebih selesa setelah penat berjuang selama ini.
Tunggu kami di sana sayang. Abang dan baby Syah sayang Tia selama-lamanya. Terima kasih Allah kerana meminjamkan isteriku yang tersangat istimewa bagiku.
Sekadar berkongsi rasa yang terpendam. Terima kasih.
Sumber: Kisah Rumah Tangga Borneo