Viral di media sosial, gambar pasangan suami isteri dan bayi mereka berusia enam bulan terlibat dalam kemalangan.
Menurut Ct Nasir yang memuat naik gambar-gambar tersebut, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Lumut ke Kota Bharu (KB) dan terserempak dengan kemalangan yang melibatkan dua buah kereta yang bertembung.
"Allahu, tengok kat depan tu, ada kemalangan yang baru terjadi. Tengok-tengok ada baby yang umurnya enam bulan cedera parah, mak dan ayahnya terlantar parah.
"Alhamdulillah kakak saya ada pengalaman bab-bab ini, dia ambil baby itu dan terus balut kepalanya untuk berhentikan pendarahan dan dikejarkan ke Hospital Jeli," katanya.
Kakaknya, Azfar Zahrah, berkata, dia bersyukur mempunyai ilmu asas bantuan kecemasan yang dipelajarinya ketika bersama PBSM KB hampir tiga tahun. Dan pengalamannya itu digunakan untuk menyelamatkan bayi berkenaan.
"Bismillahhirohmanirrahim dan salam hormat. Kepentingan mempelajari asas bantuan kecemasan.
"Kemalangan kecil dan besar sering berlaku di sekeliling kita. Anak-anak saya sendiri kerap berlaku kemalangan tidak dijangka sepanjang mereka membesar. Pernah jatuh sampai berjahit, kena air panas dan lain-lain.
"Syukur alhamdulillah saya bersama PBSM Kota Bharu (KB) selama hampir tiga tahun. Sempat mengambil beberapa ujian kecemasan dan CPR.
"Menceritakan detik cemas semalam. Saya berkursus selama empat hari di Lumut bermula Isnin lalu. Terpaksa bawa anak-anak dan adik sebagai babysitter memandangkan suami ada big event dengan MOE the whole week. Saya drive sendiri. Dah lapan tahun tak drive jauh, selalunya di sekitar Bangi sahaja.
"Selepas check out Khamis di Lumut, singgah di Gerik dan tidur satu malam. Tidur malam itu, mimpi ada orang bagi saya baby dan meminta saya menjaga serta susukannya. Sebab maknya sakit. Sedar-sedar saja, azan subuh. Terus solat dan minta dijauhkan dari perkara yang tidak baik.
"Konvoi tiga buah kereta dari Gerik ke KB dan kereta saya di tengah. Anak-anak seperti biasalah, bergaduh dalam kereta. Tiba-tiba hujan lebat sangat tetapi sekejap sahaja dalam 10 minit. Bila hujan dah reda, jalan jadi sesak sebab ada kemalangan.
"Abang saya berhenti dan turun. Saya pun ikut sama sambil berkata pada adik, "Kau kalau turun mesti tolong. Jangan nak tengok saja.".
"Sebelum turun kereta, otak sempat observed keadaan sekitar. Nampak mangsa terbaring. Saya perlu mencari tuala dalam kereta untuk bandage. Buka bonet tak jumpa tuala. Saya lari ke tempat si ibu yang terbaring. Saya tengok si ibu macam patah bahagian belakang. Bayinya pula dalam dukungan orang awam dengan garah mengalir laju. Saya lari ke kereta sambil menjerit pada adik.
"Pindahkan anak-anak akak ke kereta abang. Apa-apa hal, senang kakak ipar dalam kereta boleh tengokkan."
"Saya terus capai botol air, sambil berlari dengan laju, sempat tangkap kain pelikat si suami (mangsa kemalangan) di bonet yang sudah kemek dan terbuka. Saya terus berlari menuju ke arah baby. Niat nak guna kain pelikat untuk balut kepala.
"Allah hadirkan seorang biker ini. Laju menyelit dengan motosikalnya. Dia bawa peti kecemasan lengkap. Sarung tangan, bandage, terus saya hamparkan kain pelikat atas rumput dan mulakan sesi rawatan baby untuk hentikan pendarahan.
"Biker tadi tolong ampu kepala baby bila saya nak bandage selepas cuci luka untuk elakkan jangkitan. Baby beri respon menangis sebab pedih luka. Darahnya mengalir dengan laju. Allahuakbar.
"Dah siap, baby senyap dan mukanya biru serta matanya kuyu. Mungkin kesan dari kehilangan darah. Saya panik seketika. Tarik nafas panjang dan mula berfikir, saya perlu bawa baby ini segera ke hospital. Jarak ke Jeli dalam 40 minit. Lalu buat keputusan nak ke hospital tanpa menunggu ambulans. Saya perlu sampai ke hospital secepat mungkin.
"Saya minta izin dari si ibu. Si ibu sempat tunjukkan isyarat nak susukan anak. Allahuakbar. Sakit macam tu si ibu masih fikir tentang anak lagi. Subhanallah, kasihnya seorang ibu.
"Perjalanan ke Hospital Jeli mengambil masa 40 minit. Adik saya bawa dan diiringi oleh abang dan belakang kereta kawan abang. Kami nyalakan lampu kecemasan dan hon tanpa henti agar orang awam beri lalu di sepanjang perjalanan.
"Dalam kereta bila baby nak lena, saya terpaksa tepuk-tepuk dan cubit-cubit sikit supaya baby menangis dan beri respon. Mangsa perlu sentiasa memberi respon supaya mereka tidak lena dan tertidur.
"Sampai di kecemasan, rawatan awal terus diberikan. Syukur alhamdulillah atas pengalaman berharga ini. Thanks to Allah atas semua gerak hati. Wallahualam. Selebihnya atas ketentuan Allah SWT.
"Moral, pelajarilah asas keselamatan. Jangan panik dan otak perlu ligat berfikir tindakan demi tindakan," katanya.
Dalam perkembangan terkini, Ct Nasir memaklumkan, bayi bernama Fatihah Yusro berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM, Kota Bharu.
"Alhamdulillah baby Fatihah Yusro berada dalam keadaan stabil. Ada pendarahan sedikit dalam kepala.
"Ibunya berada di Hospital Taiping, parah tulang pinggul patah dan ayahnya hanya mengalami luka biasa saja dan dirawat di Hospital Jeli," katanya.