Loading...
TR

Tumbuk muka pelanggan lain kerana kasut berharga RM1,150


"Sanggup tumbuk orang kerana kasut limited edition berharga RM1,150? Tak berbaloi," demikian kata netizen mengenai video viral sekumpulan lelaki membelasah seorang pelanggan dalam kejadian Sabtu lalu. 

Bagaimanapun, mangsa, Faiz Hariz Nurhuda, 22, berkata, kejadian yang berlaku pada jam 6 pagi di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, berpunca dari lelaki terbabit yang bertindak memotong barisan mereka. 

"Saya sudah berada di pusat beli-belah itu semenjak jam 2 pagi lagi sebelum berlari ke tingkat tiga bangunan berkenaan pada jam 6 pagi sebaik saja pintu pusat beli-belah dibuka. 

"Bagaimanapun, ketika saya beratur di hadapan butik itu, datang sekumpulan lelaki yang meminta kami beratur mengikut senarai nama yang disediakan," katanya kepada Harian Metro. 

Bagaimanapun, pelanggan yang beratur tidak mengendahkan kumpulan berkenaan, menyebabkan salah seorang daripada mereka mengamuk. 

"Dia marah dan menjerit sebelum memotong barisan saya. Saya beritahu dia, 'first come first serve' sebelum kami bertengkar seperti yang dirakam dalam video viral itu. 

"Lelaki itu tidak puas hati lalu menumbuk muka saya menyebabkan hidung saya patah dan mata saya lebam," katanya. 

Ekoran kejadian itu, Faiz membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya. 


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sudah meneliti rakaman video viral di media sosial. 

"Setakat ini polis giat mengesan suspek yang mencederakan mangsa akibat pergaduhan di butik di pusat beli-belah berkenaan. 

"Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 323/351 Kanun Keseksaan," katanya. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.